REMAJA SUPERMAN PADAM KEBAKARAN HUTAN

JAKARTA – Aksi spontan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun memadamkan kebakaran hutan dan lahan dengan mengenakan kostum Superman mencuri perhatian di media sosial di Kota Palangka Raya, Kalimantan Tengah.

Rudiansyah, pelajar SMA Negeri 10 Palangka Raya, menyertai operasi memadamkan api sejurus pulang dari sekolah selepas kebakaran dikesan semakin merebak berhampiran kediamannya di Jalan Petuk Katimpun, Jekan Raya.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan kerana bimbang api semakin menghampiri rumahnya, sekali gus mendorongnya turun membantu memadamkan kebakaran.

“Saya bimbang melihat kebakaran tanah yang semakin menghampiri rumah. Sekembalinya dari sekolah, saya terus meluangkan masa untuk membantu memadamkan api,” katanya.

Rudiansyah, anak ketiga daripada empat beradik, berkata kostum Superman yang dipakainya pula bukanlah sebahagian daripada operasi, sebaliknya sekadar suka-suka kerana pakaian itu sudah lama tidak digunakan.

Katanya, kostum tersebut dibeli pada Februari lalu untuk menyertai acara larian maraton, namun tidak pernah digunakan sebelum ini.

Rudiansyah menegaskan, tindakannya itu dilakukan secara spontan sebagai usaha melindungi rumah dan kawasan sekitar daripada ancaman kebakaran yang semakin menghampiri.

Aksi remaja berkenaan dengan kostum adiwira ketika membantu memadamkan kebakaran kemudian tular di media sosial dan mendapat perhatian warganet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *