PENJAGA ZOO MAUT DITERKAM BUAYA

PORT MORESBY – Seorang penjaga zoo berpengalaman disahkan meninggal duniapada pagi Ahad selepas diserang seekor buaya air masin dalam satu insiden ngeri di Adventure Park, Papua New Guinea, petang Sabtu lalu. 

Mangsa yang berasal dari Western Highlands menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.00 pagi di Port Moresby General Hospital akibat kecederaan parah pada bahagian kaki selepas berada di dalam cengkaman rahang reptilia berkenaan selama lebih satu jam.

Tragedi yang sempat dirakam oleh pengunjung itu tular di media sosial dan memaparkan detik cemas mangsa yang berada dalam keadaan separuh tenggelam serta kaku di dalam kolam. 

Saksi di tempat kejadian mendedahkan bahawa serangan berlaku secara mengejut apabila buaya tersebut menerkam mangsa yang sedang membawa ayam ke kawasan pagar untuk sesi pemberian makanan lalu mengheretnya masuk ke dalam air.

Ekoran ketiadaan senjata api dalam kalangan pengawal keselamatan zoo, pengunjung dan kakitangan yang berada di lokasi hanya mampu menghulurkan sebatang besi kecil kepada mangsa untuk mempertahankan diri sementara menunggu bantuan tiba. 

Pihak polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi oleh pasukan St John Ambulance terpaksa menembak mati buaya tersebut bagi membebaskan mangsa yang sedang menanggung kesakitan yang amat sangat.

Susulan insiden tragis itu, pengurusan Adventure Park telah mengumumkan penutupan penuh taman hidupan liar tersebut serta-merta sehinggalah ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. 

Langkah penutupan ini diambil bagi menghormati mendiang mangsa serta keluarga, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai prosedur keselamatan pengendalian haiwan pemangsa di taman tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *