TOKYO – Industri perhotelan Jepun kini memperkenalkan konsep ‘pelancongan tidur’ sebagai tarikan baharu untuk pelancong yang mahu mendapatkan pengalaman menginap sambil meningkatkan kualiti rehat.
Trend yang semakin mendapat perhatian antarabangsa itu menyaksikan hotel menawarkan pakej khas berasaskan tidur, relaksasi dan kesihatan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin mengutamakan kesejahteraan ketika bercuti.
Antara hotel yang mengetengahkan konsep berkenaan ialah Hotel 1899 Tokyo di daerah perniagaan Shimbashi menerusi pakej rehat tidur dikenali sebagai ‘Totono-ne’.
Menerusi pakej itu, tetamu terlebih dahulu menjawab beberapa soalan ringkas dalam risalah yang disediakan bagi mendapatkan ‘diagnosis tidur’.
Keputusan tersebut kemudiannya digunakan untuk menentukan jenis teh bancuhan khas yang sesuai dengan corak tidur dan keperluan relaksasi setiap tetamu.
Wakil pengurusan Hotel 1899 Tokyo, Yuiko Ogawa berkata, konsep itu diperkenalkan bagi memastikan waktu tidur yang menjadi antara komponen penting sepanjang penginapan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Kami mahu memanfaatkan sepenuhnya waktu tidur, yang merangkumi bahagian paling utama sepanjang tempoh penginapan para tetamu,” katanya.
Konsep berkenaan dilihat mencerminkan perubahan dalam industri pelancongan Jepun apabila pengalaman menginap tidak lagi tertumpu kepada kemudahan bilik atau lokasi semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan kepada kesihatan dan kesejahteraan tetamu.
‘Pelancongan tidur’ juga berpotensi menjadi segmen baharu dalam industri hospitaliti apabila pelancong semakin mencari pengalaman yang membantu mereka berehat dan memulihkan tenaga sepanjang perjalanan.
