KUALA LUMPUR – Masyarakat perlu mengubah tanggapan bahawa kanak-kanak terlalu kecil untuk memahami tekanan hidup atau mengalami masalah emosi yang serius.
Pegawai Psikologi (Kaunseling), Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, kanak-kanak juga boleh berdepan pelbagai emosi termasuk kesedihan, kekecewaan, ketakutan, kesunyian, tekanan dan rasa putus harapan.
Menurutnya, perbezaannya ialah kanak-kanak mungkin belum mempunyai keupayaan untuk memahami serta meluahkan perasaan dengan jelas seperti orang dewasa.
“Kanak-kanak juga boleh mengalami masalah emosi, cuma mereka mungkin tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan atau meminta bantuan ketika sedang bergelut dengan sesuatu,” katanya.
Beliau berkata, perubahan tingkah laku seperti terlalu pendiam, mudah marah, kerap menangis, hilang minat terhadap aktiviti yang disukai serta menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan tidak seharusnya terus dianggap sebagai cubaan mendapatkan perhatian.
Katanya, walaupun tidak semua perubahan tingkah laku menunjukkan krisis emosi, perubahan yang ketara, berpanjangan atau semakin membimbangkan perlu diberi perhatian.
“Daripada terus mempersoalkan tingkah laku kanak-kanak, orang dewasa perlu cuba memahami perkara yang mungkin sedang mereka lalui,” katanya.
Nurfarahira berkata, sebarang kenyataan kanak-kanak berkaitan kematian, tidak mahu hidup, mahu menghilangkan diri atau menyakiti diri perlu diambil serius.
Katanya, ibu bapa, penjaga, guru dan ahli keluarga tidak wajar memarahi, memperlekehkan atau mencabar kanak-kanak yang meluahkan perkara sedemikian.
Sebaliknya, mereka perlu mendengar dengan tenang dan memberikan ruang kepada kanak-kanak untuk berkongsi perasaan tanpa menghakimi.
“Apabila mereka sudah meluahkan, kita perlu mengambil serius kata-kata yang membimbangkan.
“Jangan memarahi, memperlekehkan atau mencabar mereka. Elakkan ayat seperti ‘Jangan fikir bukan-bukan’ atau ‘Kamu masih kecil, apa masalah kamu?’” jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat kebimbangan terhadap keselamatan atau risiko kanak-kanak mencederakan diri, mereka tidak sepatutnya dibiarkan bersendirian dan bantuan profesional perlu diperoleh segera.
Menurutnya, tekanan emosi kanak-kanak juga boleh ditunjukkan melalui perubahan tingkah laku dan fizikal, bukan semata-mata melalui kata-kata.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk agresif, enggan ke sekolah, kerap mengadu sakit perut atau sakit kepala tanpa sebab fizikal yang jelas, sukar tidur, hilang selera makan dan sering kelihatan letih.
Ada kanak-kanak menjadi terlalu pendiam, manakala sebahagian lain mungkin menunjukkan tingkah laku yang semakin sukar dikawal.
Nurfarahira berkata, pencegahan krisis emosi perlu dimulakan lebih awal dengan mewujudkan persekitaran yang membuatkan kanak-kanak berasa selamat untuk bercakap mengenai perasaan mereka.
Katanya, kanak-kanak perlu dibimbing mengenali dan menamakan emosi serta memahami bahawa bercakap mengenai perasaan bukan tanda kelemahan.
Di rumah, ibu bapa digalakkan meluangkan masa bertanya mengenai pengalaman harian anak tanpa menjadikan setiap perbualan hanya berkisar kepada keputusan peperiksaan atau pencapaian.
Di sekolah pula, ruang selamat perlu diwujudkan supaya murid boleh melaporkan buli, berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan.
Sempena Bulan Pencegahan Bunuh Diri, beliau berkata, masyarakat perlu memastikan kanak-kanak bukan sahaja diajar untuk menjadi kuat, tetapi turut memahami bahawa mereka tidak perlu menghadapi kesedihan, tekanan dan masalah seorang diri.
“Meminta pertolongan bukan bermaksud kita gagal sebagai ibu bapa atau penjaga, sebaliknya menunjukkan bahawa kita cukup prihatin untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan,” katanya.
