KUALA LUMPUR – Fenomena segelintir pelajar sekolah menengah membawa alat solek ke sekolah semakin mendapat perhatian apabila barangan seperti lip tint, bedak asas dan produk kosmetik lain mula menjadi sebahagian daripada kelengkapan mereka.
Lebih membimbangkan, minat terhadap solekan dalam kalangan remaja dilihat berkembang menjadi bentuk persaingan apabila ada yang membandingkan jenama, harga produk, kemahiran bersolek dan penampilan rakan sebaya.
Keadaan itu dikhuatiri mengalih perhatian pelajar daripada matlamat utama berada di sekolah, iaitu menimba ilmu, membina disiplin dan mengembangkan potensi diri.
Bagaimanapun, minat terhadap solekan tidak seharusnya dianggap sebagai satu kesalahan kerana ia merupakan sebahagian daripada proses remaja mengenali identiti dan penampilan diri.
Sebaliknya, pelajar perlu dididik mengenai kesesuaian masa, tempat dan batas dalam menggunakan produk kecantikan.
Menjaga kebersihan diri, rambut terurus serta berpakaian kemas sememangnya penting dalam membentuk disiplin, namun terdapat perbezaan antara menjaga kekemasan dengan menjadikan sekolah sebagai ruang untuk mempamerkan solekan.
Pengaruh media sosial juga tidak boleh diketepikan kerana pelajar kini mudah terdedah kepada pelbagai kandungan kecantikan termasuk tutorial solekan, trend ‘get ready with me’ dan gaya penampilan yang tular.
Dalam masa sama, isu disiplin lain turut terus menjadi perhatian termasuk pemakaian tudung yang tidak mengikut ketetapan serta penggunaan sanggul yang keterlaluan dalam kalangan sebahagian pelajar perempuan.
Bagi pelajar lelaki pula, penggunaan rokok elektronik atau vape secara sembunyi-sembunyi di sekolah masih menjadi cabaran kepada pihak sekolah, khususnya apabila perbuatan itu dilakukan ketika ketiadaan guru.
Ibu bapa juga mempunyai peranan penting dalam memastikan anak mematuhi peraturan sekolah dengan tidak sekadar memastikan mereka keluar rumah lengkap beruniform.
Sebaliknya, ibu bapa wajar mengambil tahu barang yang dibawa ke sekolah dan berbincang dengan anak mengenai batas penampilan serta kelengkapan yang sesuai.
Pada masa sama, guru berdepan cabaran untuk memastikan peraturan dipatuhi tanpa menjejaskan hubungan dengan pelajar.
Teguran yang konsisten dan berhemah penting supaya pelajar memahami bahawa peraturan sekolah bukan bertujuan menyekat kebebasan, sebaliknya membentuk disiplin dan rasa tanggungjawab.
Sekolah sepatutnya menjadi ruang untuk pelajar bersaing dalam perkara yang membina seperti pencapaian akademik, disiplin, kepimpinan dan kokurikulum, bukannya siapa memiliki produk kosmetik paling mahal atau kelihatan paling menarik.
Disiplin terhadap penampilan mungkin dilihat sebagai perkara kecil, namun kebiasaan mematuhi peraturan sejak di bangku sekolah mampu membentuk sikap lebih bertanggungjawab apabila pelajar melangkah ke institusi pengajian tinggi dan alam pekerjaan kelak.
Minat boleh diraikan, tetapi pelajar perlu tahu bahawa setiap perkara mempunyai masa, tempat dan batasnya.
