Seseorang masuk syurga adalah kerana izin dan rahmat Allah, bukan kerana mengundi mana-mana parti politik, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, dakwaan bahawa seseorang boleh masuk syurga kerana mengundi parti politik adalah tidak berasas, dari sudut ilmu mahupun realiti.
“Saya menganggapnya sebagai ‘menjual syurga untuk politik’ dan pihak berotoriti perlu ambil tindakan sesuai kerana ‘menghina agama’,” katanya dipetik Harapan Madani.
Dr Mujahid menyoal apakah parti politik yang mentakfirkan sesama Islam dan melabel orang yang tidak bersamanya sebagai munafik akan mengundang rahmat Allah atau bala.
Beliau juga menyoal bagaimana sikap parti yang memfitnah dan berbohong demi kuasa dapat mengundang rahmat Allah untuk dapat syurga.
Kenyataan ini menyusuli laporan yang memetik Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai berkata, ungkapan ‘masuk PAS akan masuk syurga’ mungkin menjadi sindiran terhadap partinya.
Namun, beliau mendakwa, wajah perjuangan mereka berteraskan Islam dan selaras ajaran agama.
Malah katanya, kalau seseorang mati kerana berjuang mempertahankan Islam, mereka dianggap mati syahid dan diberikan ganjaran pahala serta akan dimasukkan ke dalam syurga.
Nahh! Adakah ini yang kita panggil sebagai pemimpin Islam yang berbangsa Melayu?
Tidakkah dakwaan Takiyuddin Hassan sendiri hanyalah sebagai delusi?
Ini kerana, seorang pemimpin yang benar-benar memperjuangkan agama dan bangsa tidak akan menunggang agama hanya demi kepentingan sendiri semata.
Sehubungan dengan itu, betul ke dakwaan yang mengatakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah orang yang memberi idea untuk membangunkan Putrajaya?
Hakikatnya, Putrajaya bukanlah idea PMX.
Tetapi kalau mahu bercakap tentang idea dan sumbangan beliau sepanjang berada dalam kerajaan, senarainya jauh lebih panjang daripada sekadar membina sebuah bandar pentadbiran.
Ketika menjadi Menteri Pertanian, beliau memperkenalkan Pasar Tani sebagai ruang pemasaran terus untuk petani dan pengeluar.
Semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan pula, lahirnya SUKMA atau Sukan Malaysia yang menjadi medan mencungkil bakat atlet dari seluruh negara.
Dan apabila menjadi Menteri Pendidikan, perubahan turut berlaku dalam sistem persekolahan.
Antaranya, pendidikan agama diperkasakan di sekolah harian, manakala pemakaian baju kurung dalam kalangan pelajar perempuan Islam semakin digalakkan.
Pendekatannya ketika itu bukan sekadar mengejar pencapaian akademik, tetapi turut memberi perhatian kepada nilai dan pembentukan sahsiah.
Sumbangan Ahli Parlimen Tambun itu dalam pembangunan institusi Islam juga besar.
Di mana beliau terlibat dalam gerakan yang melahirkan Koperasi Belia Islam dan kemudiannya memperjuangkan perkembangan sistem perbankan Islam.
Ketika menjadi Menteri Kewangan, sektor kewangan Islam terus diperkasakan sehingga Malaysia kemudiannya muncul sebagai antara pusat penting kewangan Islam dunia.
Dalam bidang pendidikan dan pemikiran Islam pula, nama Dato’ Seri Anwar Ibrahim sering dikaitkan dengan perkembangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta institusi pemikiran seperti ISTAC dan IIIT.
Namun antara legasi yang paling dekat dengan rakyat ialah usaha membasmi kemiskinan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia.
Dengan mengambil inspirasi daripada model kredit mikro Profesor Muhammad Yunus di Bangladesh, pendekatan itu membuka ruang kepada keluarga miskin membina kehidupan lebih baik melalui peluang ekonomi.
Jauh sebelum menjadi Perdana Menteri yang ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga pernah mengasaskan Yayasan Anda Akademik.
Institusi itu menawarkan pendidikan dengan yuran rendah kepada anak muda yang memerlukan peluang kedua, sambil menggabungkan akademik, disiplin dan pembinaan rohani.
Sebab itu, kalau mahu mencari “idea Anwar”, jangan hanya cari bangunan besar, menara tinggi atau kota pentadbiran.
Idea beliau sejak dahulu ialah membina manusia, memberi pendidikan, membuka peluang, mengangkat maruah dan membebaskan rakyat daripada kemiskinan.
Itulah gagasan yang hari ini diterjemahkan sebagai Malaysia MADANI.
Makanya, inilah pemimpin Melayu Islam yang jelas terbukti bekerja keras membantu mengangkat martabat orang Melayu dari dulu sehingga kini.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=TcYlkJCOEHU&ra=m
