KUALA LUMPUR – Persediaan penyusuan susu ibu wajar dimulakan sejak tempoh kehamilan dan tidak hanya selepas bayi dilahirkan bagi membantu ibu serta keluarga lebih bersedia menghadapi cabaran penyusuan.
Ketua Pembelajaran dan Pengajaran, Sekolah Perubatan, Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Taylor’s University, Prof. Madya Dr. Khine Pwint Phyu berkata, kehamilan merupakan tempoh terbaik untuk ibu mendapatkan ilmu berkaitan penyusuan, selain membina keyakinan dan merancang bentuk sokongan yang diperlukan.
Menurutnya, anggapan bahawa penyusuan akan berlaku secara semula jadi selepas kelahiran menyebabkan aspek berkenaan sering kurang diberi perhatian berbanding persediaan melahirkan anak.
“Penyusuan susu ibu ialah kemahiran yang perlu dipelajari oleh ibu dan bayi, justeru ia memerlukan kesabaran, latihan serta bimbingan.
“Pengetahuan yang diperoleh ketika hamil mungkin tidak dapat mengelakkan semua cabaran penyusuan, namun dapat meningkatkan keyakinan ibu untuk menghadapinya,” katanya.
Beliau berkata, pendidikan antenatal mengenai penyusuan boleh merangkumi kepentingan sentuhan kulit ke kulit selepas kelahiran, usaha memulakan penyusuan dalam tempoh sejam pertama jika keadaan ibu dan bayi mengizinkan serta amalan bayi bersama ibu.
Ibu juga perlu didedahkan kepada cara mengenal pasti tanda bayi mahu menyusu, teknik memerah dan menyimpan susu dengan selamat serta perancangan meneruskan penyusuan selepas kembali bekerja.
Sokongan pasangan dan keluarga turut penting bagi membantu ibu mengharungi tempoh awal penyusuan, termasuk ketika berdepan keletihan dan perubahan rutin selepas kelahiran.
Sementara itu, Ketua Sekolah Perubatan, Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan, Taylor’s University, Prof. Madya Dr. Ganesh Ramachandran berkata, tempoh selepas bersalin boleh menjadi fasa mencabar kerana ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan fizikal dan emosi sambil menjaga bayi.
Antara masalah yang boleh berlaku termasuk pengeluaran susu yang lambat, kesukaran mendapatkan pelekapan yang betul, kebimbangan mengenai bekalan susu, payudara bengkak dan mastitis.
“Mastitis ialah keradangan payudara yang biasanya menyebabkan kesakitan, kemerahan, bengkak dan kadangkala demam. Jika tidak dirawat, dalam sesetengah keadaan ia boleh berkembang menjadi abses payudara yang memerlukan prosedur mengeluarkan nanah,” katanya.
Katanya, perubahan hormon, kurang tidur, keletihan dan tekanan emosi turut boleh mempengaruhi kelancaran penyusuan serta kesejahteraan ibu dan hubungan ibu dengan bayi.
Beliau berkata, pengetahuan yang diperoleh sejak kehamilan membolehkan ibu bapa mengenal pasti cabaran lebih awal dan mendapatkan bantuan daripada petugas kesihatan, pakar laktasi atau komuniti sokongan apabila diperlukan.
Sokongan juga perlu diteruskan apabila ibu kembali bekerja, antaranya melalui penyediaan ruang penyusuan, kemudahan penyimpanan susu, waktu rehat yang sesuai untuk mengepam susu serta persekitaran kerja mesra keluarga.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi enam bulan pertama kehidupan sebelum diteruskan bersama makanan pelengkap sehingga usia dua tahun atau lebih.
Susu ibu membekalkan nutrien penting, membantu melindungi bayi daripada jangkitan serta menyokong tumbesaran dan perkembangan, manakala bagi ibu, penyusuan dikaitkan dengan pengurangan risiko jangka panjang kanser payudara dan ovari serta diabetes jenis 2.
Justeru, tempoh kehamilan wajar dimanfaatkan untuk mendapatkan maklumat, menetapkan jangkaan realistik dan membina rangkaian sokongan supaya ibu lebih yakin meneruskan penyusuan selepas kelahiran.
