AS-CHINA SEPAKAT TOLAK CAJ LALUAN SELAT HORMUZ


WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan China mencapai persetujuan bahawa tiada mana-mana negara dibenarkan mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui laluan antarabangsa termasuk Selat Hormuz yang menjadi nadi utama perdagangan tenaga dunia.

Perkara itu disahkan Jabatan Negara AS selepas perbualan telefon antara Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan Menteri Luar China, Wang Yi pada 30 April lalu.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott berkata, kedua-dua kuasa besar dunia itu bersetuju bahawa laluan perairan antarabangsa perlu kekal bebas tanpa sebarang caj atau sekatan daripada mana-mana pihak.

“Mereka bersetuju tiada negara atau organisasi dibenarkan mengenakan bayaran tol untuk melalui laluan air antarabangsa seperti Selat Hormuz,” katanya kepada Reuters.

Kenyataan itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa Washington dan Beijing sedang mencari titik persamaan dalam usaha menekan Iran supaya membuka semula laluan strategik tersebut.

Ketegangan di Selat Hormuz memuncak selepas Iran bertindak menutup hampir sepenuhnya laluan perdagangan itu susulan serangan udara AS-Israel ke atas Tehran pada 28 Februari lalu.

Tindakan tersebut mengejutkan pasaran tenaga global memandangkan selat berkenaan sebelum ini mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

Kedutaan China turut menyatakan sokongan supaya laluan pelayaran di kawasan itu kembali normal demi kepentingan ekonomi antarabangsa.

Jurucakap Kedutaan China, Liu Pengyu berkata, kestabilan dan keselamatan di Selat Hormuz perlu dipelihara bagi memastikan perdagangan global tidak terjejas.

“Mengekalkan kawasan itu selamat dan stabil serta memastikan laluan pelayaran tidak terganggu adalah demi kepentingan bersama masyarakat antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Tehran menuntut hak untuk mengenakan caj terhadap kapal yang melalui selat tersebut sebagai syarat menamatkan konflik yang sedang berlaku.

Pada masa sama, Presiden AS, Donald Trump pernah membayangkan kemungkinan Washington turut mengenakan bayaran terhadap kapal yang menggunakan laluan itu atau bekerjasama dengan Iran untuk mengutip caj berkenaan.

Bagaimanapun, selepas menerima bantahan antarabangsa, Rumah Putih kemudian menegaskan bahawa AS mahu Selat Hormuz dibuka sepenuhnya tanpa sebarang sekatan terhadap trafik perkapalan dunia.

Isu Selat Hormuz dijangka menjadi antara agenda utama dalam sidang kemuncak antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping minggu ini ketika dunia terus memantau perkembangan konflik yang memberi kesan besar kepada ekonomi global dan harga tenaga antarabangsa.

Pautan Video:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *