MARAN – Seramai 17 penghuni Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita Hospital Jengka di sini berdepan detik cemas selepas ruang siling kedua-dua wad berkenaan terbakar malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, kesemua penghuni termasuk enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan enam wanita berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Maran sebelum anggota Balai Polis Jengka digerakkan ke lokasi.
“Anggota bertugas mendapati pihak bomba sedang menjalankan operasi memadamkan kebakaran ketika tiba di lokasi.
“Kebakaran membabitkan bahagian dalam ruang siling Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita dengan kira-kira 10 peratus bahagian siling kedua-dua wad terbakar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kebakaran turut menyebabkan kerosakan pada pendawaian yang terdapat di bahagian atas siling bangunan berkenaan.
Katanya, pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya dalam tempoh kira-kira 20 minit.
“Kesemua 17 penghuni berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Punca sebenar kebakaran masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak bomba,” katanya.
Kejadian berkenaan tidak mengakibatkan kehilangan nyawa, manakala tindakan pantas penghuni serta pasukan kecemasan membantu memastikan keselamatan pesakit dan penghuni wad terbabit.
