Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin agama di seluruh negara tampil sebagai ejen perpaduan dengan menyemai nilai toleransi, belas ihsan dan kematangan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama terus terpelihara.
Berucap pada Majlis Hi-Tea Bersama Pemimpin Masyarakat Johor, beliau menegaskan Malaysia yang dikenali sebagai antara negara paling aman tidak boleh membiarkan sentimen perkauman dan keagamaan dijadikan alat memecah-belahkan rakyat.
Menurutnya, pemimpin agama termasuk mufti, ketua gereja dan pemimpin agama Hindu perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing masyarakat berlandaskan nilai agama, budaya dan moral.
Di samping memperkukuh semangat saling menghormati yang menjadi asas pembinaan negara.
PMX turut mengingatkan bahawa keadilan dalam pentadbiran perlu diterjemahkan di semua peringkat kerajaan.
Termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, dengan memastikan setiap komuniti diberi ruang yang adil untuk mengemukakan pandangan sebelum sesuatu keputusan dibuat mengikut lunas undang-undang.
Tambahan lagi, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kemajuan negara tidak boleh diukur hanya melalui pertumbuhan ekonomi.
Sebaliknya perlu disertai pengukuhan perpaduan, nilai kemanusiaan dan kebebasan setiap rakyat mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau turut berkata, transformasi negara dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan peralihan tenaga mesti dipandu oleh prinsip moral serta kefahaman budaya agar pembangunan yang dicapai kekal seimbang dan inklusif.
Malah dalam ucapannya, beliau turut mengkritik segelintir pemimpin politik yang menjadikan retorik perkauman sebagai modal politik untuk meraih sokongan.
Sedangkan tindakan itu hanya menguntungkan kelompok tertentu dan menjejaskan perpaduan nasional.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tambun itu juga menyeru rakyat agar menolak politik kebencian dan bersama-sama mempertahankan semangat perpaduan.
Demi memastikan Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan bersatu tanpa mengira latar belakang kaum serta agama.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengelakkan retorik politik yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama.
Tambahnya lagi, perbezaan pandangan dalam politik perlu disampaikan secara berhemah serta berasaskan fakta.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat terus dilaksanakan tanpa gangguan polemik yang berpanjangan.
Katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), setiap pihak berhak mengemukakan kritikan, namun ia perlu disertakan dengan cadangan yang membina demi kepentingan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan faktor penting dalam menarik pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Sehubungan itu, semua pemimpin diseru mengutamakan kepentingan rakyat berbanding percaturan politik yang boleh menjejaskan keyakinan awam.
Beliau berharap budaya politik yang lebih matang dapat diperkukuhkan bagi memastikan perpaduan dan kemajuan negara terus menjadi keutamaan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Cyx-Hw634mA&ra=m
