KUALA LUMPUR – Mengawal perbelanjaan pasangan, enggan memberikan wang untuk keperluan asas serta memarahi isteri kerana membeli barangan dalam talian antara bentuk keganasan ekonomi dalam rumah tangga yang perlu diberikan perhatian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keganasan rumah tangga bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal dan emosi, malah turut merangkumi kawalan kewangan sehingga menjejaskan kebebasan serta kesejahteraan mangsa.
Menurut beliau, keadaan itu boleh berlaku apabila pasangan tidak menyediakan wang untuk keperluan harian keluarga, selain menyekat akses mangsa kepada wang bagi memenuhi keperluan peribadi.
“Contohnya, suami balik rumah hendak makan dan mengharapkan isteri masak. Kalau isteri tidak bekerja, dia tidak ada duit dan suami pula tidak memberikan wang untuk keperluan dapur, macam mana dia hendak memasak?
“Selain itu, isteri hendak membeli pakaian tetapi tidak mempunyai wang. Apabila dia memesan barangan melalui platform dalam talian, dia dimarahi suami. Ini yang biasa berlaku dan menjadi cabaran baharu dalam kehidupan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Keluarga Sejahtera: Kasih Terpelihara, Penjagaan Diperkasa terbitan Bernama TV.
Nancy berkata, kawalan kewangan boleh menyebabkan mangsa hilang keupayaan membuat keputusan berkaitan keperluan sendiri, khususnya apabila tidak mempunyai pendapatan atau akses kepada wang.
Menurut statistik polis, sebanyak 5,507 kes keganasan rumah tangga direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 7,016 kes pada 2024 dan 7,391 kes pada 2025.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 5,278 kes direkodkan, sekali gus menunjukkan isu keganasan rumah tangga terus memerlukan perhatian serta tindakan berterusan.
Beliau berkata, antara cabaran utama menangani masalah itu ialah sikap mangsa yang memilih untuk berdiam diri atau menarik balik laporan polis kerana takut terhadap pasangan.
Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan sokongan termasuk khidmat kaunseling, intervensi serta bantuan kewangan bagi menghadiri prosiding mahkamah sekiranya diperlukan.
Nancy turut menegaskan bahawa usaha menangani keganasan rumah tangga penting bagi melindungi anak-anak yang menyaksikan penderaan dalam keluarga daripada menganggap perbuatan itu sebagai perkara biasa apabila dewasa.
Beliau menggesa masyarakat supaya tidak menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi semata-mata, sebaliknya tampil mendapatkan bantuan atau melaporkan kejadian yang diketahui atau disyaki berlaku.
Orang ramai boleh menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 untuk mendapatkan bantuan berkaitan keganasan rumah tangga.
