PTPTN PERINCIKAN PENANGGUHAN BAYARAN BALIK PINJAMAN

GEORGE TOWN – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang memperincikan mekanisme pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman pendidikan bagi peminjam berpendapatan rendah seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, perincian inisiatif itu sedang dibincangkan bersama Kementerian Kewangan sebelum diumumkan secara menyeluruh dalam masa terdekat.

Menurutnya, peminjam berpendapatan bulanan di bawah RM2,500 akan diberikan penangguhan bayaran balik, manakala mereka yang memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 hanya perlu membayar ansuran minimum RM50.

Bagi peminjam berpendapatan melebihi RM3,000 sebulan, bayaran balik pinjaman diteruskan seperti biasa, tertakluk kepada ketetapan sedia ada.

“Secara terperinci, kita masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan akan mengumumkan kaedahnya secara lebih komprehensif dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Junior Superhero Simpan SSPN 2026 di Hospital Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan sebagai langkah membantu golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran minimum RM50, manakala peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur layak menikmati diskaun 10 peratus.

Dalam pada itu, Norliza menggalakkan peminjam yang berkemampuan supaya meneruskan pembayaran secara konsisten bagi memenuhi tanggungjawab melunaskan pinjaman pendidikan masing-masing.

Peminjam yang mempunyai tunggakan pula disaran berunding dengan PTPTN untuk mendapatkan penyelesaian bersesuaian, termasuk penstrukturan semula bayaran balik bagi mengelakkan masalah tunggakan berlarutan.

Pelaksanaan inisiatif berkenaan dijangka membantu peminjam yang berdepan kekangan kewangan mengurus komitmen bulanan, selain memastikan bayaran balik pinjaman pendidikan dapat diteruskan mengikut kemampuan dan ketetapan yang bakal diumumkan PTPTN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *