HORMATI INSTITUSI DIRAJA, WARDA TEGUR TONY PUA

Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional membidas kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang didakwa menyentuh kedudukan Institusi Diraja dalam nada tidak wajar ketika isu titah Sultan Sharafuddin Idris Shah masih hangat diperkatakan.

Timbalan Ketua WARDA Nasional, Aishah Zain berkata, demokrasi dan kebebasan bersuara tidak pernah menghalalkan kenyataan bersifat sinis atau tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai memperlekeh kewibawaan Institusi Raja-Raja Melayu.

Menurut beliau, Malaysia berdiri atas prinsip Raja Berperlembagaan yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pentadbiran negara, namun dalam masa sama Institusi Diraja tetap mempunyai kedudukan tinggi sebagai simbol kestabilan dan perpaduan negara.

Katanya, sebagai rakyat, setiap individu bukan sahaja terikat dengan Perlembagaan tetapi juga semangat Rukun Negara khususnya prinsip Kesopanan dan Kesusilaan yang menuntut adab terhadap institusi negara sentiasa dipelihara.

“Dalam keadaan Sultan Selangor telah menyampaikan teguran secara berhemah, respon yang lebih wajar sepatutnya hadir dengan rasa hormat, rendah diri dan tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Tony Pua menerusi hantaran di Facebook didakwa menyentuh soal kuasa Raja dalam sistem Raja Berperlembagaan susulan titah Sultan Selangor yang menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu, menghayati semula Rukun Negara di Dataran Selangor.

Mengulas lanjut, Aishah menegaskan Institusi Diraja tidak sepatutnya dijadikan bahan eksploitasi politik oleh mana-mana pihak demi kepentingan sempit.

Beliau berkata, kestabilan negara hanya dapat dipertahankan sekiranya semua pihak menghormati keseimbangan sistem negara termasuk kedudukan Institusi Diraja yang menjadi antara tunjang penting negara.

WARDA Nasional turut menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor dan menegaskan komitmen mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan sebagai asas keharmonian negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *