NEW YORK – Persaingan merebut jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin mendapat perhatian apabila diplomat Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Lana Nusseibeh, muncul sebagai antara calon berpotensi menggantikan Antonio Guterres yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini.
Jika dipilih, Nusseibeh, 48, bakal mencipta sejarah sebagai wanita pertama menerajui badan dunia itu, selain menjadi Setiausaha Agung kedua dari negara Arab selepas diplomat Mesir, Boutros Boutros-Ghali, yang memegang jawatan berkenaan dari 1992 hingga 1996.
Menurut laporan media, United Kingdom (UK) dilaporkan cenderung menyokong pencalonan Nusseibeh, walaupun keputusan muktamad masih belum dibuat.
Bagaimanapun, pencalonannya berdepan penelitian susulan dakwaan UAE menyokong Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dalam konflik bersenjata di Sudan. Abu Dhabi menafikan dakwaan berkenaan.
Hubungan rapat UAE dengan Israel turut menjadi perhatian, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penerimaan pencalonannya dalam kalangan negara anggota PBB yang mempunyai kepentingan diplomatik berbeza.
Nusseibeh bukan tokoh baharu dalam diplomasi antarabangsa. Beliau pernah menjadi wakil tetap wanita pertama UAE ke PBB pada 2013 hingga 2024, selain memegang beberapa jawatan penting termasuk Naib Presiden Perhimpunan Agung PBB dan Presiden Majlis Keselamatan PBB sebanyak dua kali.
Berasal daripada keluarga Palestin yang mempunyai akar keturunan di Baitulmaqdis, Nusseibeh turut membawa latar belakang diplomatik yang berkait rapat dengan perkembangan politik Asia Barat.
Persaingan itu turut menyaksikan beberapa nama lain diketengahkan, termasuk bekas Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, yang dilaporkan mendapat perhatian pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut laporan media antarabangsa, wakil pentadbiran Trump telah menghubungi Orban berhubung kemungkinan pencalonannya. Bagaimanapun, beliau dilaporkan hanya bersedia bertanding sekiranya yakin mempunyai peluang memenangi jawatan berkenaan.
Orban, yang memimpin Hungary selama 16 tahun sebelum tewas dalam pilihan raya pada Mei lalu, dikenali sebagai pengkritik lantang dasar Kesatuan Eropah (EU) dan mengekalkan hubungan dengan Moscow ketika konflik Ukraine berlarutan.
Persaingan bagi jawatan tertinggi PBB itu dijangka dipengaruhi pendirian lima anggota tetap Majlis Keselamatan, iaitu AS, UK, Rusia, China dan Perancis, yang masing-masing mempunyai kuasa veto dalam proses pemilihan.
Setakat ini, beberapa calon masih belum memperoleh sokongan yang diperlukan daripada kelima-lima anggota tetap berkenaan, sekali gus memperlihatkan cabaran untuk mencapai kesepakatan mengenai pengganti Guterres.
Proses pemilihan memerlukan Majlis Keselamatan mengesyorkan seorang calon untuk dilantik oleh Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, sebelum ini menegaskan bahawa Setiausaha Agung PBB yang baharu perlu mewakili kepentingan seluruh umat manusia dan bukannya hanya negara Barat.
Pemilihan itu penting bagi menentukan hala tuju PBB dalam menangani konflik antarabangsa, krisis kemanusiaan serta cabaran keselamatan global ketika persaingan geopolitik antara kuasa besar terus mempengaruhi hubungan antarabangsa.
