PRU JOHOR: ‘ADA PAKATAN POLITIK MAHU JATUHKAN SAYA’ – PMX

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat pihak tertentu dalam kalangan parti politik yang didakwa berpakat untuk menjatuhkan kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakan itu didorong oleh ketegasan Kerajaan MADANI yang tidak berkompromi terhadap sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Menurutnya, pendekatan tegas kerajaan dalam memastikan wang rakyat tidak diseleweng serta kuasa tidak disalah guna menjadi punca ketidakselesaan sesetengah pihak yang ingin menjatuhkan kerajaan sekarang.

“Sekarang ini tuan-tuan tahu, ada usaha pelbagai pihak untuk jatuhkan saya. Kenapa? Sebab mereka tahu kita tegas, kita jaga semua,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama PMX di kedai kopi Ah Foo Senggarang pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan calon-calon PH sekitar Batu Pahat iaitu DUN Penggaram, Senggarang dan Rengit.

Tambah PMX lagi, beliau tidak gentar dengan tekanan politik yang dihadapi kerana berpegang kepada prinsip pentadbiran yang jelas dan berintegriti.

Malah katanya, kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan membenarkan mana-mana pemimpin menggunakan kedudukan untuk mendapatkan tanah, projek, saham atau kepentingan peribadi.

Sepanjang beberapa siri lawatan ke Johor sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah mengambil sebarang bentuk kepentingan di negeri berkenaan.

“Saya datang Johor berpuluh kali, saya ambil tanah? Tidak. Saya ambil projek? Tidak ada. Saya ambil saham? Tidak ada. Kita kena ajar wakil rakyat kita, negeri baik, jaga prinsip ini,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu turut menyelar segelintir pemimpin politik yang menggunakan sentimen ketuanan Melayu sebagai alat semata-mata untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kroni mereka.

Seraya itu, Perdana Menteri menekankan kepada rakyat bahawa mereka perlu bangkit, berusaha dan berjuang menentang naratif seumpama itu.

“Adakah kita pasti bahawa mereka (pemimpin politik) benar-benar prihatin mengenai kaum mereka?

“Adakah kita pasti mereka yang diberi kuasa untuk memimpin dan mentadbir negara ini selama lebih enam dekad, benar-benar mengambil berat mengenai komuniti mereka?

“Adakah mereka melakukan segala yang mungkin untuk membantu rakyat, atau mereka sekadar menggunakan kuasa bagi mempamerkan keangkuhan serta membazirkan kekayaan hasil negara demi diri sendiri, keluarga dan kroni mereka?

“Fakta ini jelas. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan maklumat yang mengelirukan ini.

“Saya tidak percaya dengan retorik politik berdekad-dekad mereka mengenai ketuanan Melayu.

“Jika dilihat secara dekat pada pemimpin masa lalu dan sekarang, semuanya hanyalah permainan prinsip serta nilai.

“Semakin lantang mereka melaungkan mengenai ketuanan Melayu, semakin kaya-raya jadinya mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Pemimpin Kristian Johor bersama Perdana Menteri di Johor Bharu, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan, R Yuneswaran pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia tidak boleh lari daripada akar hidup beragama dan berbudaya selama ini.

“Kita perlu menerima kenyataan bahawa masyarakat Islam adalah majoriti di negara ini.

“Namun, kita hidup bertapak di Tanah Melayu dan kini Malaysia dengan ikrar jelas bahawa negara ini harus bersama maju meningkat cemerlang sebagai satu kesatuan semua kaum dan semua agama,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, PMX turut mengingatkan bahawa Malaysia harus lebih matang dari segi demokrasi dan toleransi.

Ini kerana, Malaysia kini mencatat sejarah sebagai antara yang aman di rantau ini dan dapat memacu pertumbuhan ekonomi jauh lebih baik.

Kini, tumpuan tidak hanya tertumpu ke Lembah Klang, Pulau Pinang atau Hi-Tech tetapi juga sudah ke Negeri Sembilan, Melaka, terutamanya Johor dan sekarang ke Sabah serta Sarawak juga.

Nahh! Naratif dangkal apa lagi yang hendak mahu dilemparkan oleh pembangkang ketika kempen berlangsung ini? Ketuanan Melayu? Peruntukan Pembangunan ataupun 3R?

Jelas terbukti bahawa kerjasama baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amatlah diperlukan demi kelangsungan serta kesejahteraan rakyat, tidak kira negeri pembangkang sekalipun.

Malahan, peruntukan buat negeri Johor juga antara yang tertinggi, maka, nikmat apa lagi yang kalian mahu dustakan?

Sedar-sedarlah diri tu sikit dan jangan terlalu mendongak ke langit hanya kerana gilakan kuasa.

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=LjcbEnwQEug&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *