Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini memasuki fasa yang semakin kritikal apabila tiga gabungan politik utama negara dilihat berada dalam kedudukan yang berbeza.
Dari segi kestabilan, kesediaan serta keyakinan untuk menghadapi pengundi menjelang hari penamaan calon.
Perkembangan politik mutakhir memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) tampil sebagai gabungan yang paling tersusun selepas berjaya mengumumkan senarai calon lebih awal dalam suasana penuh kesepaduan.
Pengumuman tersebut disempurnakan sendiri oleh Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan parti komponen.
Ia sekali gus memberi gambaran bahawa gabungan itu memasuki medan pilihan raya dengan persiapan yang rapi serta disiplin organisasi yang tinggi.
Pemerhati politik berpandangan, pendekatan tersebut menghantar mesej jelas kepada rakyat bahawa PH bersedia menawarkan pentadbiran yang stabil sekiranya diberi mandat.
Terutamanya dalam keadaan pengundi kini lebih mengutamakan kestabilan politik berbanding retorik kempen semata-mata.
Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) terus dibelenggu pelbagai persoalan susulan pengumuman calon yang tertangguh lebih dua jam selain berlangsung tanpa kehadiran Presiden, Timbalan Presiden dan beberapa pimpinan tertinggiUMNO.
Situasi itu mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hubungan antara kepimpinan pusat dan negeri.
Justeru, memberi gambaran wujud perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju parti menjelang PRN.
Beberapa keputusan pemilihan calon turut mengundang perhatian apabila bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak disenaraikan sebagai calon.
Manakala bekas pemimpin Bersatu, Alawiyah Talib pula dipilih mewakili BN di DUN Endau.
Keputusan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keyakinan BN terhadap barisan pemimpin sedia ada.
Pencalonan semula Dato’ Sri Dr Adham Baba turut menjadi perhatian berikutan kontroversi yang pernah tercetus ketika beliau menerajui Kementerian Kesihatan sewaktu pandemik COVID-19.
Pada masa sama, kenyataan veteran UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, yang mempertikaikan proses pemilihan calon menambahkan lagi persepsi bahawa BN masih berdepan cabaran dalaman.
Isu membabitkan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, termasuk polemik berkaitan hubungan politik serta kontroversi melibatkan FELDA, turut dijangka menjadi antara fokus utama sepanjang tempoh kempen.
Dan ia sekali gus memberi tekanan tambahan kepada BN yang berusaha mempertahankan penguasaan di negeri itu.
Dalam masa sama, Perikatan Nasional (PN) juga dilihat masih bergelut dengan isu dalaman apabila hubungan antara PAS dan Bersatu dikatakan semakin renggang.
Khususnya berhubung pembahagian kerusi, hala tuju gabungan serta struktur kepimpinan.
Kemunculan parti baharu yang dikaitkan dengan kepimpinan Bersatu turut menambahkan lagi kerumitan landskap politik pembangkang.
Pelancaran jentera pilihan raya yang dibuat secara berasingan oleh PAS dan Bersatu, selain isu penggunaan lambang gabungan, memperlihatkan PN masih belum mencapai kesepakatan sepenuhnya menjelang pilihan raya.
Penganalisis berpendapat Johor merupakan negeri yang mempunyai corak pengundi pelbagai serta lebih cenderung menilai aspek kestabilan, kecekapan pentadbiran dan kredibiliti kepimpinan berbanding slogan politik.
Justeru, sebarang konflik dalaman yang gagal diselesaikan berpotensi menjejaskan keyakinan pengundi atas pagar.
Dalam perkembangan semasa, PH dilihat memiliki kelebihan dari sudut persepsi sebagai gabungan yang lebih tersusun dan bersedia.
Manakala BN serta PN masih perlu menyelesaikan beberapa isu dalaman bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir negeri tanpa dibayangi perebutan kuasadan konflik kepimpinan.
Sehubungan dengan itu, PRN Johor dijangka menjadi medan ujian penting bukan sahaja untuk menentukan kerajaan negeri yang baharu.
Malah mengukur sejauh mana setiap gabungan mampu membuktikan kestabilan politik, kesatuan organisasi serta keupayaan menawarkan pentadbiran yang diyakini rakyat.
Pilihan kini berada di tangan rakyat Johor yang bakal menentukan gabungan manakah paling layak diberikan mandat untuk menerajui negeri itu bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=eCw5moeljUY&pp=0gcJCU4LAYcqIYzv&ra=m
