Isu perumahan generasi kedua dan pemilikan tanah dalam kalangan warga FELDA tidak boleh terus dibiarkan berlarutan, sebaliknya memerlukan tindakan segera dengan penyelesaian yang jelas dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu FELDA melipat gandakan usaha bagi menyelesaikan pelbagai isu yang sekian lama membelenggu warga peneroka.
Khususnya melibatkan keperluan generasi kedua memiliki kediaman serta kepastian hak pemilikan tanah.
Menurutnya, setiap permasalahan perlu diteliti secara menyeluruh sebelum disusuli pelan tindakan yang benar-benar memberi manfaat kepada peneroka.
“Isu-isu ini tidak boleh terus dibiarkan berlarutan dan saya mahukan tindakan segera yang berpaksikan kepentingan warga FELDA.
“Dengan setiap permasalahan diteliti secara cermat dan disusuli pelan penyelesaian yang jelas,” katanya dipetik Media Perpaduan.
PMX turut berkata Kerajaan MADANI komited memperkukuh institusi FELDA agar terus menjadi pemangkin kepada kesejahteraan peneroka dan keluarga mereka.
Beliau juga menegaskan setiap dasar dan ikhtiar yang dilaksanakan kerajaan perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh warga FELDA, termasuk dalam aspek kebajikan, pemilikan aset dan peningkatan kualiti hidup.
Tambahnya lagi, kerajaan akan terus memastikan agenda memperkasakan FELDA diberi keutamaan, selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan lebih 100,000 keluarga peneroka di seluruh negara.
Katanya, penyelesaian terhadap isu-isu yang tertangguh sejak sekian lama penting bagi menjamin masa depan generasi peneroka, selain mengukuhkan peranan FELDA sebagai antara institusi pembangunan luar bandar yang utama di Malaysia.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh FELDA serta memastikan setiap ikhtiar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada para peneroka dan keluarga mereka,” ujarnya lagi.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=IVT9eBk-A8Y&pp=0gcJCUwLAYcqIYzv&ra=m
