BRUSSELS – Seorang pekerja sambilan berusia 18 tahun terkejut selepas menemukan harta karun emas bernilai kira-kira £7.5 juta (RM35.45 juta) ketika menjalankan kerja pengubahsuaian di sebuah bekas kilang bir di Sint-Gillis-Dendermonde, Belgium, Selasa lalu.
Pelajar yang dikenali sebagai Kobe itu menemukan harta berkenaan ketika menjalankan kerja pemasangan paip kumbahan bersama seorang rakannya kira-kira jam 8.15 pagi waktu tempatan.
Ketika mengorek bahagian dinding sebuah ruang bawah tanah, Kobe pada mulanya menyangka syiling yang ditemuinya hanyalah syiling biasa.
Namun, sangkaannya berubah selepas menemukan ketulan dan jongkong emas selain timbunan syiling yang dipercayai mempunyai nilai keseluruhan mencecah jutaan pound.
Harta berkenaan dipercayai disembunyikan di dalam struktur dinding bangunan itu, namun cara sebenar ia disimpan masih belum dapat dipastikan.
Beberapa laporan mendakwa emas tersebut berada di dalam peti, manakala laporan lain menyebut ia dibalut menggunakan plastik sebelum disembunyikan.
Selepas penemuan itu, pihak kontraktor segera memaklumkan kepada pelanggan mereka, badan kebajikan CAW Oost-Vlaanderen, sebelum menghubungi polis.
Keseluruhan harta tersebut kemudian dipindahkan ke sebuah peti besi berkeselamatan tinggi milik kerajaan Belgium bagi tujuan keselamatan sementara siasatan dijalankan.
Polis kini menyiasat asal-usul harta berkenaan, termasuk bagaimana jongkong emas, ketulan emas dan syiling itu boleh tersembunyi di dalam bangunan tersebut.
Sebahagian besar jongkong emas yang ditemukan dipercayai mempunyai cap tahun sekitar 1957 dan 1961, sekali gus menjadi antara petunjuk penting dalam siasatan bagi mengenal pasti sejarah harta tersebut.
Ketua Polis tempatan, Patrick Feys berkata, berita mengenai penemuan itu menyebabkan penduduk sekitar berpusu-pusu ke lokasi berkenaan kerana ingin mengetahui lebih lanjut mengenai harta karun tersebut.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak memasuki atau menjalankan aktiviti mencari harta lain di kawasan berkenaan kerana lokasi itu masih menjadi sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa.
Penemuan tersebut kini mencetuskan persoalan mengenai pemilik asal harta berkenaan serta sebab ia disembunyikan di dalam bangunan itu selama bertahun-tahun tanpa diketahui.
