RCI TH: KESATUAN PONDOK KELANTAN SERU ULAMA BERANI BERSUARA

Golongan ulama dan agamawan diseru supaya lebih berani menyentuh isu membabitkan amanah umat, termasuk kemelut yang berlaku dalam Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengerusi Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan, Baba Zulkarnain Harun berkata, isu TH tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia membabitkan amanah besar serta wang umat Islam yang dikumpulkan sejak sekian lama.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh sikap taksub melampau dalam kalangan masyarakat yang menurutnya boleh menyebabkan sesuatu isu besar gagal dinilai secara adil dan menyeluruh.

Beliau menyentuh perkara itu ketika berucap dalam Persidangan Khas Ulamak & Agamawan: Hifz al-Mal yang membincangkan isu berkaitan institusi Tabung Haji (TH).

Baba Zulkarnain turut menegaskan, kerosakan boleh berlaku apabila amanah tidak dijaga dengan baik, lebih-lebih lagi apabila melibatkan institusi yang menguruskan wang umat.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai ulama tampil dengan keberanian untuk memberikan nasihat dan pandangan dalam isu berkenaan.

“Kebangkitan… mudah-mudahan ulama-ulama akan bangkit.

“Saya menyeru ulama-ulama di luar sana… 

“..Kita tengah lawan isu besar dalam TH. Orang yang menggunakan agama Islam untuk putar belit, orang ini lagi bahaya.

“Marilah kita kembali bangkit moga-moga dapat beri semangat kepada orang Melayu Islam. Ulama-ulama di luar sana, jadilah ulama berani menasihatkan,” tegasnya dipetik Harapan Daily.

Dalam pada itu, gerakan penerangan mengenai dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dirancang untuk diperluaskan ke masjid, surau serta institusi pendidikan di seluruh negara bagi membantu masyarakat memahami isu membabitkan amanah harta umat Islam.

Usaha itu dijangka akan digerakkan susulan Persidangan Khas Ulama & Agamawan: Hifz al-Mal berkenaan.

Bekas Menteri Agama, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, alim ulama dan agamawan akan memainkan peranan membantu masyarakat memahami dapatan RCI melalui masjid, surau, sekolah, jabatan kerajaan, kolej, universiti serta ruang pendidikan masyarakat.

Gerakan tersebut membawa matlamat supaya fakta mengenai RCI TH diterangkan kepada Masyarakat.

“Matlamatnya jelas, fakta mesti diterangkan, amanah mesti dipertahankan dan penyelewengan terhadap harta umat tidak boleh dibiarkan berulang.

“Tabung Haji adalah amanah umat. Menjaganya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dr Mujahid turut berkata, prinsip Hifz al-Mal, iaitu menjaga dan melindungi harta.

Maka, menjadi asas penting kepada perbincangan mengenai TH memandangkan institusi itu menguruskan simpanan jutaan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Tambahnya lagi, isu berkaitan RCI TH juga perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi aspek agama, kewangan, ekonomi, perakaunan, perundangan, tadbir urus serta amanah dalam menjaga harta umat.

Untuk rekod, persidangan khas yang berlangsung di De Palma Hotel, Ampang pada Ahad itu menghimpunkan lebih 100 alim ulama dan agamawan dari seluruh negara.

Program berkenaan digerakkan Sekretariat Ulama Malaysia bersama Mursyid al-’Am Majlis Ulama Malaysia, Tuan Guru Haji Abdul Rahim Abdul Rahman.

Selain agamawan, persidangan itu turut melibatkan panel daripada pelbagai latar belakang termasuk akauntan bertauliah, pengulas ekonomi, pengamal undang-undang, asatizah serta ulama pondok.

Antara pengisian utama ialah sesi “Merungkai RCI Tabung Haji” yang membincangkan dapatan RCI daripada sudut profesional.

Selain sesi “RCI Tabung Haji: Kebangkitan Ummah dan Ulama” yang memberi tumpuan kepada peranan agamawan serta masyarakat dalam mempertahankan amanah umat.

Syabas dan tahniah! JOMChannel menyokong sepenuhnya usaha Majlis Ulama Malaysia untuk meneruskan perjuangan menyampaikan fakta dan kebenaran mengenai RCI TH kepada masyarakat.

JOMChannel juga ingin mengingatkan semua pihak terutamanya rakyat Melayu Islam supaya isu RCI TH ini tidak sesekali dibiarkan senyap.

Justeru, memetik kata-kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, jangan jadi “syaitan bisu” dengan membiarkan kemungkaran isu TH ini.

Dan maka, jangan juga mesra dengan para penyakau.

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=37yywkRIezI&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *