44 KAWASAN HUTAN DAN LADANG TERBAKAR, INDONESIA SIASAT   UNSUR SENGAJA

JAKARTA – Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kemungkinan kebakaran hutan dan tanah dilakukan secara sengaja selepas mengenal pasti 44 kawasan terjejas di Sumatera Selatan.

Ketua BNPB, Kristomei Sianturi berkata, pemetaan yang disemak silang dengan data pengurusan tanah mendapati kawasan terbakar meliputi ladang kelapa sawit, hutan tanaman industri, kawasan pengurusan hutan serta hutan perlindungan.

Beliau berkata, kebanyakan titik panas dikesan berhampiran sempadan kawasan yang mempunyai permit penukaran guna tanah, sekali gus menimbulkan kemungkinan kebakaran berpunca daripada aktiviti pembukaan atau peluasan kawasan secara sengaja.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat individu dan syarikat yang mungkin bertanggungjawab, selain mengenakan hukuman tegas bagi mencegah kejadian berulang.

“Usaha keras kita tidak akan berhasil jika tindakan memadamkan kebakaran tidak diselaraskan. Seorang memadamkan api, seorang lagi menyalakan api, kemudian kebakaran berlaku semula,” katanya.

Kristomei berkata, arahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto supaya kerjasama merentas sektor diperkukuh perlu dilaksanakan secara bersepadu, khususnya di Sumatera Selatan yang merupakan antara enam wilayah keutamaan bagi pencegahan kebakaran hutan dan tanah gambut.

Menurutnya, isu itu memerlukan penyelarasan rapat antara kementerian, agensi berkaitan dan kerajaan tempatan bagi memastikan dasar kerajaan pusat dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat wilayah.

BNPB turut menggesa Badan Pemulihan Gambut dan Bakau (BRGM) membangunkan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko kebakaran di kawasan gambut, termasuk membina saluran air bagi mengekalkan kelembapan tanah.

Enam wilayah keutamaan berkenaan meliputi Riau, Jambi, Sumatera Selatan serta tiga wilayah di Kalimantan.

Dalam pada itu, ribuan anggota pasukan gabungan dan helikopter masih dikerahkan bagi memadamkan kebakaran, manakala penilaian berkala akan dilakukan untuk memastikan penempatan anggota serta penggunaan peralatan dapat mengurangkan jumlah titik panas.

BNPB menegaskan, penguatkuasaan yang berkesan dan kerjasama antara agensi penting bagi memastikan usaha memadamkan kebakaran tidak terjejas oleh kejadian berulang, selain melindungi kawasan hutan dan tanah gambut daripada kemusnahan berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *