PETALING JAYA – Seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan hilang selepas banjir besar melanda daerah Rasuwa, Nepal, semalam, menurut Lembaga Pelancongan Nepal.
Angka itu meningkat daripada 11 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan terputus hubungan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra), selepas maklumat terbaharu daripada pihak pelancongan Nepal mengenal pasti 17 rakyat Malaysia sebagai antara pelancong yang masih belum dapat dikesan.
Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, seramai 384 pelancong dilaporkan hilang selepas banjir melanda kawasan Sungai Bhote Koshi, termasuk 291 warga asing dan 93 rakyat Nepal.
Daripada jumlah warga asing itu, lebih 100 rakyat India, 12 warga Britain, empat Afrika Selatan, tiga Amerika Syarikat, seorang Australia dan seorang Belanda turut dilaporkan hilang, manakala kewarganegaraan 111 lagi masih belum disahkan.
Lembaga berkenaan berkata, maklumat tersebut masih dalam proses pengesahan dan semakan silang bersama agensi pelancongan, pemandu pelancong, pihak berkuasa tempatan serta pasukan keselamatan.
Bagi rakyat Malaysia, urusan perjalanan mereka yang hilang dilaporkan dikendalikan agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels.
Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan kehilangan komunikasi dengan 11 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di Rasuwa berpunca daripada gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik akibat bencana tersebut.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini menyelaras dengan pihak berkuasa Nepal serta pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan rakyat Malaysia terbabit dan memastikan keselamatan mereka.
Banjir besar yang berlaku selepas limpahan Sungai Bhote Koshi memusnahkan kediaman, jalan raya, jambatan, bangunan serta kemudahan hidrokuasa di kawasan Rasuwagadhi-Timure, selain menjejaskan hubungan komunikasi dan akses ke kawasan terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan keselamatan dan penyelamat Nepal terus digerakkan bagi mencari mangsa yang hilang, namun operasi berdepan kesukaran berikutan kerosakan infrastruktur serta keadaan kawasan pergunungan yang terjejas teruk.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya berhampiran kawasan terjejas, supaya kekal berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
