JAKARTA – Sebanyak kira-kira 59,275 titik panas dikesan di 17 daerah dan bandar di Sumatera Selatan dari 1 September hingga semalam, menjadikan wilayah itu antara kawasan yang berdepan ancaman jerebu serius susulan kebakaran hutan dan tanah.
Angka berkenaan berdasarkan Data Sistem Pemantauan Kebakaran Hutan dan Tanah milik Kementerian Perhutanan Indonesia.
Ketua Bahagian Advokasi Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) Sumatera Selatan, Galang Suganda berkata, kebakaran hutan dan tanah bukan bencana yang berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya risiko ekologi yang boleh dikenal pasti dan dicegah.
Menurutnya, risiko berkenaan berkait rapat dengan perubahan landskap, penguasaan ruang, aktiviti berasaskan permit, kerosakan ekosistem gambut serta kelemahan usaha pencegahan dan pengawasan di kawasan berisiko kebakaran.
“Kebakaran hutan dan tanah bukan bencana yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak dapat diramalkan, sebaliknya merupakan risiko ekologi yang boleh dikenal pasti dan dicegah,” katanya.
Galang berkata, kesan kebakaran tidak terhenti di kawasan yang terbakar kerana asap yang terhasil turut menjejaskan kesihatan penduduk dan mengganggu aktiviti harian masyarakat.
Katanya, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Kota Palembang, sebanyak 17,434 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) direkodkan dalam kalangan penduduk Palembang sepanjang September lalu.
Beliau berkata, peningkatan kes ISPA itu menunjukkan kesan langsung pencemaran udara akibat kebakaran hutan dan tanah terhadap masyarakat, khususnya golongan yang terdedah kepada asap dalam tempoh berpanjangan.
Menurutnya, keadaan itu turut menimbulkan persoalan terhadap usaha kerajaan memastikan hak rakyat untuk menikmati udara bersih dan persekitaran yang baik seperti termaktub dalam Perkara 28H ayat (1) Undang-Undang Dasar (UUD) 1945.
Perkara berkenaan antara lain menetapkan setiap orang berhak hidup sejahtera dari segi fizikal dan mental, mempunyai tempat tinggal serta mendapat persekitaran hidup yang baik dan sihat.
