HBM ANTARA 250 HOSPITAL PALING HIJAU DUNIA

GEORGE TOWN – Hospital Bukit Mertajam (HBM) mengharumkan nama Malaysia apabila disenaraikan antara 250 hospital paling hijau di dunia menerusi penarafan World’s Greenest Hospitals 2026 oleh Newsweek dan Statista.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, HBM merupakan satu-satunya hospital dari Malaysia yang berjaya tersenarai dalam pengiktirafan berkenaan.

Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan warga HBM dalam membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih lestari dan mesra alam.

“Ini bukan sahaja pengiktirafan kepada HBM, malah turut mengangkat nama Bukit Mertajam dan Malaysia ke pentas dunia.

“Kejayaan ini hasil usaha berterusan dan komitmen warga HBM yang diketuai Dr. S. Prashant dalam membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang lestari,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pencapaian itu menyusuli kejayaan HBM meraih Gold Award bagi kategori Most Sustainable Hospital 2025 pada tahun lalu menerusi penyertaan bertajuk Pioneering 135 Years of Eco-Friendly Healthcare: HBM’s Journey Towards Becoming a Sustainable Hospital.

Steven berkata, pengiktirafan tersebut menunjukkan usaha HBM dalam aspek kelestarian, kecekapan operasi dan penjagaan kesihatan mesra alam terus mendapat perhatian di peringkat lebih luas.

“Daripada pengiktirafan di peringkat Asia pada 2025, kini HBM melangkah lebih jauh dengan menerima pengiktirafan di peringkat dunia pada 2026.

“Ini membuktikan usaha berterusan dalam aspek kelestarian, kecekapan dan penjagaan kesihatan mesra alam telah membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan terhadap pembangunan infrastruktur HBM turut diteruskan bagi memastikan kemudahan serta perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Bukit Mertajam dapat dipertingkatkan.

Sejak 2023, pejabatnya telah berusaha mendapatkan peruntukan kerajaan termasuk RM200,000 bagi menaik taraf tandas awam, RM50,000 untuk Klinik Mata pada 2024 dan RM5 juta bagi penyediaan kemudahan CT Scan pada 2025 menerusi peruntukan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, kerjasama turut dijalankan bersama EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bagi usaha menaik taraf HBM.

Steven turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga HBM, khususnya petugas kesihatan yang menyumbang kepada pencapaian berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *