KOS KEHIDUPAN WAJAR KELUARGA CECAH RM9,610 DI KL

PUTRAJAYA – Sebuah keluarga enam orang di Kuala Lumpur memerlukan sekurang-kurangnya RM9,610 sebulan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang wajar, berdasarkan Kalkulator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (MyPAKW) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi individu bujang yang menetap di Kuala Lumpur pula, perbelanjaan asas kehidupan wajar dianggarkan RM2,403 sebulan.

Sebaliknya, kos berkenaan jauh lebih rendah di luar bandar, dengan keluarga enam orang di Besut, Terengganu memerlukan sekitar RM4,956 sebulan, manakala individu bujang di Jeli, Kelantan dianggarkan memerlukan RM1,019 sebulan.

DOSM memaklumkan pembangunan PAKW bermula sejak 2018 sebelum diperkenalkan pada 2024, dengan pengiraan mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Perbelanjaan dan Pendapatan Isi Rumah yang dilaksanakan secara berkala.

Menurutnya, PAKW merujuk jumlah perbelanjaan penggunaan bulanan yang diperlukan individu atau isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar, termasuk memenuhi keperluan, kehendak serta membolehkan penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Nilai PAKW dipengaruhi lokasi, ciri demografi seperti umur dan jantina serta saiz isi rumah. Nilai PAKW bagi setiap isi rumah adalah berbeza mengikut ciri demografi dan lokasi tempat tinggal,” menurut kenyataan itu.

PAKW dibangunkan berasaskan prinsip keperluan melebihi minimum dengan mengambil kira tiga aspek utama kehidupan wajar iaitu keperluan, kehendak dan penyertaan dalam masyarakat.

Terbaharu, pada 18 Ogos lalu, PAKW dikemas kini bagi kumpulan berkeperluan khas termasuk orang kurang upaya (OKU), pesakit dan warga emas yang memerlukan penjagaan khusus.

Kemas kini itu mengambil kira kos tambahan yang diperlukan keluarga bagi memastikan ahli berkeperluan khas dapat mencapai taraf kehidupan yang wajar.

DOSM berkata kalkulator MyPAKW boleh dijadikan panduan individu dan isi rumah untuk menganggarkan perbelanjaan asas mengikut lokasi serta ciri demografi masing-masing.

Pada masa sama, PAKW boleh menjadi rujukan kerajaan dalam merangka dasar dan program berkaitan kos sara hidup, selain membantu isi rumah mengurus perbelanjaan serta memberi gambaran kepada sektor perniagaan mengenai kos kehidupan di kawasan operasi masing-masing.

Perkembangan itu turut hadir ketika kadar gaji minimum negara sedang disemak semula bagi menentukan sama ada kadar semasa RM1,700 sebulan perlu dikekalkan atau dinaikkan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan sebelum ini berkata semakan berkenaan mengambil kira indikator seperti Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah bagi menilai keperluan asas pekerja serta kemampuan majikan membayar upah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *