KESIHATAN MENTAL REMAJA SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

KUALA LUMPUR – Peningkatan insiden keganasan dalam kalangan pelajar mencetuskan kebimbangan terhadap tahap kesihatan mental remaja, sekali gus menuntut tindakan segera melalui pengesanan dan intervensi awal di sekolah serta di rumah.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Perunding Psikiatri Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Maruzairi Husain berkata, Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) menunjukkan kadar kemurungan dalam kalangan remaja meningkat daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.

Menurut beliau, masalah kesihatan mental, kelemahan mengawal emosi, tekanan hidup, kekurangan kemahiran menyelesaikan konflik serta pendedahan berlebihan kepada kandungan berunsur keganasan di media sosial dan permainan video boleh menjadi antara faktor yang mendorong tingkah laku agresif dalam kalangan pelajar.

Beliau menjelaskan, sekolah yang mempunyai hubungan lemah antara guru dan pelajar serta kurang memberi perhatian kepada kesejahteraan psikologi berisiko lebih tinggi berdepan insiden keganasan kerana tanda awal masalah mental sukar dikenal pasti.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Siti Rahaimah Ali berkata, masalah kesihatan mental bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah turut memberi kesan terhadap suasana pembelajaran dan keselamatan warga sekolah.

Katanya, Unit Bimbingan dan Kaunseling perlu diperkasakan sebagai barisan hadapan dalam mengenal pasti pelajar berisiko, di samping melaksanakan saringan kesihatan mental secara berkala serta meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam usaha pencegahan.

Beliau menegaskan kerjasama antara sekolah, keluarga, komuniti, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan amat penting bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kesihatan mental yang baik, berdaya tahan emosi dan berakhlak mulia.

Selain itu, pakar berpandangan usaha meningkatkan literasi kesihatan mental dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru perlu diperkasakan menerusi program pendidikan berterusan agar tanda awal gangguan emosi dapat dikenal pasti lebih awal. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan risiko berlakunya insiden keganasan di sekolah, malah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, kondusif dan menyokong perkembangan emosi remaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *