BENTONG – Pembuangan sisa dipercayai daripada aktiviti perindustrian berhampiran tanah rizab syarikat utiliti di Kawasan Perindustrian Bentong di sini didakwa berlaku sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap risiko pencemaran alam sekitar dan kesihatan.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, lori pelbagai saiz dilihat keluar masuk ke kawasan berkenaan tanpa mengira waktu, termasuk pada awal pagi dan malam, sebelum sisa dipercayai dibuang di kawasan cerun.
Menurutnya, sisa berkenaan berbentuk separa pepejal dan cecair berwarna hitam, manakala kawasan cerun yang pada asalnya dalam kini hampir rata dipercayai akibat aktiviti penimbunan berulang kali.
“Saya juga nampak cecair dipercayai sisa daripada proses kilang mengalir keluar dari kawasan itu sebelum memasuki aliran air berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, aliran air berkenaan dipercayai menuju ke Kampung Chegar Medang dan Taman Chegar Medang sebelum bersambung ke Sungai Benus yang kemudiannya mengalir ke Sungai Pahang.
Katanya, penduduk turut terpaksa berdepan bau kurang menyenangkan terutama ketika angin bertiup, selain sisa yang tercicir di jalan dan terkena kenderaan pengguna.
“Saya bimbang kesannya terhadap penduduk, haiwan serta sumber air jika perkara ini terus berlaku,” katanya.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 70 premis industri pelbagai saiz di kawasan berkenaan, namun pihak yang bertanggungjawab membuang sisa itu belum dapat dikenal pasti.
Menurutnya, tidak mustahil sisa berkenaan dibawa dari lokasi lain untuk dilupuskan di kawasan tersebut dan bukan hanya berpunca daripada premis industri berhampiran.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tanah dan agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan serta siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sumber dan jenis sisa terbabit.
“Siasatan perlu dilakukan bagi menentukan jenis sisa yang dibuang, sumbernya serta tahap risiko terhadap alam sekitar dan penduduk berhampiran,” katanya.
