Wanita Pakatan Harapan (PH) mengecam kenyataan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang didakwa menyentuh aspek fizikal dan perwatakannya secara terbuka.
Ketua Setiausaha Wanita PH, Mashitah Ismail berkata, tindakan berkenaan memperlihatkan kelemahan kepimpinan, kekurangan empati serta tidak mencerminkan budaya politik yang matang.
Menurutnya, Islam mengangkat martabat wanita dan mengajar umatnya supaya menjaga maruah serta mengelakkan penghinaan atau ejekan terhadap fizikal seseorang.
“Perbuatan melabel pemimpin wanita dengan imej tertentu atau menjadikan bentuk tubuh badan sebagai bahan jenaka di khalayak ramai bukan sahaja melanggar etika kemanusiaan.
“Malah bertentangan dengan tuntutan menjaga kehormatansesama insan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mashitah yang juga Setiausaha Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional berkata, perkara itu turut selari dengan peringatan Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 supaya tidak mencela atau merendahkan orang lain.
Beliau berkata, peranan sayap wanita tidak wajar dipandang ringan kerana ia merupakan antara jentera penting dalam sesebuah organisasi politik.
Tambahnya lagi, kepimpinan wanita seharusnya dinilai berdasarkan kebolehan, integriti dan sumbangan.
Dan sudah tentu bukan aspek fizikal atau usia semata.
“Penilaian ini tidak sepatutnya dijadikan subjek komedi bersandarkan ukuran fizikal.
“Tindakan merendahkan wanita berasaskan usia mencerminkan pemikiran yang dangkal.
“Sekali gus menafikan sumbangan dan bakti besar golongan warga emas kepada masyarakat dan negara,” ujarnya lagi.
Malah menurutnya, persidangan politik seharusnya menjadi medan membahaskan dasar serta isu yang membina masa depan rakyat, bukannya ruang untuk serangan peribadi.
Mashitah juga berkata, budaya sedemikian berpotensi menjejaskan usaha memperkasakan wanita dalam politik.
Di samping mematahkan semangat generasi muda untuk menceburi bidang berkenaan.
Sehubungan itu, Wanita PH menggesa pemimpin politik merentas parti supaya mematangkan budaya politik.
Antaranya dengan mengutamakan kritikan membina berasaskan fakta, memelihara maruah wanita serta menampilkan kepimpinan berteraskan diplomasi, kesantunan dan rasa hormat.
“Nilai wanita pada akal, akhlak dan jasa: raikan kepimpinan, hentikan sendaaan fizikal,” tegasnya.
Selain itu, Mashitah juga berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghalalkan serangan terhadap maruah dan peribadi seseorang, khususnya pemimpin wanita.
Beliau berharap semua pihak dapat menjadikan insiden berkenaan sebagai peringatan.
Terutamanya untuk memperkukuh budaya politik yang lebih beradab, matang dan menghormati semua pihak.
Kritikan terhadap seseorang pemimpin perlu tertumpu kepada prestasi, dasar dan keputusan yang dibuat supaya perbahasan politik kekal berlandaskan hujah serta fakta.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=NWfsMkrHw4w&ra=m
