KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik sempit kerana tindakan sedemikian hanya akan merosakkan keharmonian dan masa depan negara.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, beliau menegaskan Malaysia tidak akan mampu mencapai kemajuan sekiranya budaya kebencian dan hasad sesama rakyat terus dipupuk dalam arena politik.
Sebaliknya, katanya, negara memerlukan semangat perpaduan nasional yang kukuh serta persaingan sihat bagi memastikan kestabilan dan kemajuan dapat terus dipertahankan.
“Jangan mainkan isu perkauman demi kepentingan politik sempit. Semua rakyat Malaysia sayangkan negara ini dan mahu melihat tanah air kita terus aman, maju dan dihormati dunia,” katanya.
Mohamad berkata, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada rakyat pelbagai kaum yang selama ini hidup saling menghormati dan bekerjasama membangunkan negara.
Menurut beliau, pendekatan politik yang berasaskan kebencian hanya akan menjejaskan keharmonian masyarakat selain melemahkan usaha pembangunan serta perpaduan nasional yang menjadi tunjang kestabilan negara.
Beliau turut menyeru seluruh anggota AMANAH agar terus mempertahankan pendekatan “politik khidmat” dan “politik solusi” yang memberi tumpuan kepada kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
“Kita dalam AMANAH perlu terus menjaga kesejahteraan negara dengan politik khidmat, politik solusi dan politik yang menyatukan rakyat.
“Bukan menanam kebencian, tetapi membina harapan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya lagi.
Kenyataan itu dilihat sebagai peringatan supaya semua pihak lebih bertanggungjawab dalam mengurus perbezaan politik dan kaum demi memastikan keamanan serta perpaduan negara terus terpelihara.
