NIBONG TEBAL – Seramai 90,000 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara bakal menerima Elaun Sara Hidup berjumlah RM2,500 seorang bermula tahun depan menerusi Belanjawan 2027.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, bantuan itu akan disalurkan secara berperingkat sepanjang tiga semester pengajian, dengan setiap pelajar menerima bayaran lebih RM800 bagi setiap semester.
Menurutnya, pembayaran elaun berkenaan akan bermula pada semester pertama tahun depan selepas proses pendaftaran pelajar Tingkatan Enam selesai.
“Sebaik sahaja pendaftaran anak-anak selesai tahun depan, maka kita akan sampaikan bantuan itu kepada pelajar Tingkatan Enam pada semester pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di Taman Widuri, di sini, semalam.
Fadhlina berkata, pemberian elaun itu merupakan antara usaha kerajaan memastikan pelajar Tingkatan Enam mendapat sokongan sewajarnya bagi meneruskan pengajian, selain membantu mengurangkan beban kewangan keluarga.
Menurutnya, inisiatif berkenaan juga diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam serta memperkukuh pencapaian pelajar dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kita sangat gembira dengan pengumuman belanjawan ini kerana inilah antara hasrat kita untuk melihat bagaimana pelajar Tingkatan Enam mendapat sokongan dari aspek pembelajaran dan meningkatkan kualiti STPM,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan peruntukan elaun sara hidup berjumlah RM2,500 bagi setiap pelajar Tingkatan Enam, yang dijangka memanfaatkan kira-kira 90,000 pelajar di seluruh negara.
Kadar bantuan itu menyamai elaun yang diterima pelajar matrikulasi, sekali gus mencerminkan usaha kerajaan memperluas sokongan kewangan kepada pelajar prauniversiti bagi membantu mereka menumpukan perhatian terhadap pembelajaran.
