SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 37 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Nilai, pada 15 Oktober lalu.
Tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Norhazwani Ibrahim, 35, di kediaman mereka di Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, Nilai, kira-kira pukul 7 malam pada tarikh berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, memohon tarikh sebutan semula bagi membolehkan laporan bedah siasat dikemukakan.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, mangsa yang bertugas sebagai pegawai AKPS di KLIA dilaporkan maut dalam kejadian di kediaman pasangan itu. Tertuduh kemudian dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher, selain mengalami kecederaan tikaman di bahagian perut dan pipi.
Tertuduh mempunyai dua anak berusia lima dan enam tahun.
