SIDANG CILIK SELANGOR BENTUK PEMIMPIN MASA DEPAN

SHAH ALAM – Program Sidang Cilik Selangor 2026 menjadi platform pendidikan demokrasi bagi membentuk generasi pemimpin masa depan menerusi pendedahan awal kepada proses persidangan, kemahiran berhujah dan tanggungjawab kepimpinan.

Berteraskan slogan “Suara Kecil, Impak Besar”, program yang berlangsung di Dewan Renantanda, Tingkat 3, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu melibatkan kanak-kanak berusia enam hingga 14 tahun.

Program berkenaan memberi peluang kepada peserta mengikuti simulasi persidangan, pembentangan usul, perbahasan serta latihan mematuhi aturan mesyuarat bagi memahami amalan demokrasi secara praktikal.

Selain meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran komunikasi, pendedahan itu turut memupuk pemikiran kritis, sikap menghormati perbezaan pendapat serta nilai integriti dan tanggungjawab dalam kalangan peserta.

Program itu turut menampilkan penyanyi rap dan pelakon, Ben Ladin sebagai penggulung dan Ikon Sidang Cilik Selangor 2026 bagi menyuntik inspirasi kepada peserta untuk mengembangkan bakat serta berani menyuarakan idea.

Setiausaha Program, Siti Suhaili Sulaiman berkata, inisiatif itu bukan sekadar memberi pengalaman bersidang, malah bertujuan membina keyakinan kanak-kanak untuk berfikir, berhujah dan mendengar pandangan orang lain secara berhemah.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga merangkap penaung program, Danial Al-Rashid menekankan kepentingan bimbingan berterusan daripada mentor bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.

Dalam program itu, Aisy Haura Mutyara binti Muhammad Ridwan dari DUN N.03 Sungai Panjang menerima Anugerah Pembahas Terbaik bagi pihak pembangkang, manakala Mohammad Yusuf Akid bin Mohammad Farhan dari DUN N.42 Meru dipilih sebagai Pembahas Terbaik bagi pihak kerajaan.

Naael Zakaria bin Nadhir Zakaria dari DUN N.49 Sungai Kandis pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik, sementara Puan Norfazidah binti Abd Samad menerima Anugerah Mentor Terbaik berdasarkan penilaian ibu bapa dan juri.

Secara keseluruhannya, program itu diharap dapat memperkukuh pendidikan sivik dan kepimpinan sejak usia muda, sekali gus melahirkan generasi yang berani menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab serta mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *