KUALA LUMPUR – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi semakin meluas, namun peranan pensyarah kekal penting bagi memastikan teknologi itu digunakan secara beretika, kritis dan berasaskan ilmu yang sahih.
AI kini dimanfaatkan pensyarah untuk mendapatkan idea awal, menyusun bahan kuliah, membina aktiviti pembelajaran, menyediakan soalan penilaian serta memperkemas penerangan, sekali gus membantu menjimatkan masa dan memberi lebih ruang untuk membimbing pelajar.
Dalam kalangan pelajar pula, AI membolehkan mereka mendapatkan penerangan konsep pada bila-bila masa, meneroka contoh tambahan, membandingkan pendekatan serta mencuba penyelesaian berulang kali.
Bagaimanapun, kepantasan memperoleh jawapan tidak semestinya menjamin kefahaman, khususnya dalam kalangan pelajar yang masih membina asas pengetahuan dan pengalaman menilai ketepatan sesuatu maklumat.
Sehubungan itu, pensyarah berperanan membimbing pelajar menentukan persoalan yang sesuai dikaji, memilih sumber dipercayai, menguji andaian, mengenal pasti batas model dan menilai kesesuaian sesuatu dapatan.
Pendekatan berkenaan dapat memastikan AI digunakan sebagai alat mempercepat penerokaan dan perbincangan, bukannya jalan pintas yang menggantikan proses pemikiran.
Menurut Polisi Akademik Kecerdasan Buatan dan Garis Panduan Penggunaan AI Beretika Universiti Malaya, staf akademik perlu menetapkan tahap penggunaan AI yang dibenarkan dalam pengajaran, pembelajaran dan penilaian.
Pelajar pula perlu mengisytiharkan penggunaan AI, memastikan keaslian tugasan, membuat sitasi dengan betul serta mengelakkan kebergantungan berlebihan terhadap teknologi berkenaan.
Garis panduan itu menetapkan tahap penggunaan AI daripada Tahap 0, iaitu tanpa penggunaan AI, sehingga Tahap 4 apabila AI menjadi komponen mandatori yang perlu dinilai, dibandingkan atau dikritik.
Pendekatan itu turut dapat dilihat menerusi penyertaan pelajar PASUM dalam Statistics and Mathematics Exhibition 2026 (STaMEx 2026) yang berlangsung pada 12 September lalu di Dewan Zulfaqar, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Pameran anjuran Jabatan Matematik, Pusat Asasi Pertahanan UPNM dengan kerjasama Persatuan Sains Matematik (PERSAMA) itu bertemakan “Teori Kukuh, Idea Ampuh: Akar Inovasi Masa Depan”.
Tiga kumpulan PASUM mengetengahkan penyelesaian terhadap masalah sebenar menerusi projek OPTIroute, GABI dan Q-SMART, dengan mengaplikasikan teori matematik, model statistik dan simulasi.
OPTIroute mengkaji pemilihan laluan pelajar dari kolej kediaman ke kompleks pembelajaran PASUM menggunakan algoritma seperti Dijkstra, Bellman-Ford dan Floyd-Warshall serta skor berwajaran.
GABI pula meneroka cadangan model hibrid bagi menganggarkan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita Malaysia dengan mengambil kira kesesuaian model terhadap populasi sasaran, manakala Q-SMART menggunakan teori barisan bagi menentukan bilangan kaunter optimum berdasarkan kadar ketibaan dan perkhidmatan pelanggan.
Ketiga-tiga kumpulan menggunakan AI sebagai alat sokongan untuk memperluas pencarian awal, membandingkan model, mencadangkan simulasi dan memperkemas penerangan, namun setiap dapatan disemak semula dengan bimbingan pensyarah.
Hasilnya, OPTIroute muncul Johan Keseluruhan dan meraih pingat emas, GABI turut memperoleh pingat emas, manakala Q-SMART memenangi pingat perak.
Pencapaian itu menunjukkan pertandingan inovasi mampu menjadi ruang pembelajaran yang menguji keupayaan pelajar menghubungkan teori dengan masalah sebenar, selain mempertahankan hasil kerja mereka di hadapan juri.
Dalam era AI, universiti perlu menetapkan tahap penggunaan yang jelas, mewajibkan pengisytiharan, meminta bukti proses dan menyediakan bimbingan mencukupi supaya teknologi itu menyokong pembelajaran tanpa menjejaskan integriti akademik.
