SKILLBOX 2026 HIMPUN 500 PELAJAR, BENTUK GENERASI PEMIMPIN MASA DEPAN

ALOR GAJAH: Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung Tahun 2026 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 500 pelajar sekolah menengah dari seluruh Semenanjung di Kem Permata Resort, di sini.

Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan berkata, program berskala besar yang julung kali diadakan itu menjadi platform penting dalam memperkasa generasi muda menerusi latihan komunikasi, kepimpinan dan pembentukan sahsiah diri.

Menurut beliau, program bertemakan Aspirasi Diri Anak Bangsa (ADAB) itu dirangka bagi melahirkan pelajar yang berani, berdaya saing serta mampu mendepani cabaran dunia moden dengan kemahiran insaniah yang mantap.

“Program ini bukan sahaja menghimpunkan pelajar dari pelbagai negeri, malah menjadi medan membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta semangat patriotisme dalam kalangan peserta.

“Kita mahu melahirkan generasi muda yang celik teknologi, bijak menggunakan media digital serta mempunyai jati diri kukuh untuk menjadi pemimpin masa depan negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung Tahun 2026, Ahad lalu.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Hasiran Lemat dan Pengarah JAPEN Melaka, Mazli Hamdan.

Program selama tiga hari dua malam bermula 8 hingga 10 Mei itu turut menjadi simbol evolusi baharu SKILLBOX yang sebelum ini dilaksanakan secara dalam talian ketika pandemik Covid-19 pada 2021 sebelum diteruskan secara kecil-kecilan di Perak pada 2022.

Julina berkata, pendekatan fizikal sepenuhnya kali ini memberi pengalaman pembelajaran lebih efektif menerusi aktiviti berkumpulan, latihan praktikal dan interaksi secara langsung antara peserta serta fasilitator.

Katanya, antara pengisian utama program termasuk modul multimedia, komunikasi digital dan Mobile Journalism (MOJO) yang dilihat relevan dengan perkembangan semasa.

“Pendedahan ini membantu pelajar memahami penggunaan media secara positif selain meningkatkan kreativiti dan kemahiran komunikasi digital mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, majlis penutupan program turut dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar sebagai latihan praktikal pengurusan majlis dan kepimpinan.

Program itu turut diserikan dengan segmen Kenegaraan dan Patriotisme bersama artis budaya JAPEN, selain segmen Interaktif@Influencer bersama pempengaruh muda Amin dan Abid dengan tajaan STEM kit oleh Yayasan Mr. D.I.Y.

Selain itu, segmen Road to Varsity yang menampilkan tutor selebriti terkenal, Sir Fathi dan Sir Badang dari MC+ turut memberi suntikan motivasi kepada peserta untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Program SKILLBOX 2026 mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta penajaan produk makanan dan minuman daripada Nestlé (Malaysia) Berhad.

Pautan Video:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *