BATU PAHAT – Semua pihak diminta memberi ruang sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Ghazali berkata, pihaknya tidak mahu mendahului siasatan pihak berkuasa bagi memastikan fakta sebenar kejadian dapat dikenal pasti.
Menurutnya, orang awam termasuk pengguna media sosial juga perlu mengelak daripada membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh mengganggu siasatan serta menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Berilah ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi menentukan fakta sebenar kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian dan menerima taklimat daripada pihak pentadbiran sekolah berhubung situasi serta perkembangan terkini kes berkenaan.
Dalam perkembangan sama, tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut telah ditahan polis beberapa jam selepas mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
Ketiga-tiga suspek dipercayai merupakan pelajar sekolah yang sama dengan mangsa, manakala seorang daripada mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.
Muhammad Naqib turut menziarahi datuk dan nenek Allahyarhamah yang merupakan penjaga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan kepada keluarga yang sedang berdepan kehilangan tragis itu.
Katanya, aspek keselamatan dan kesejahteraan murid perlu terus menjadi keutamaan, khususnya selepas kejadian serius berlaku dalam kawasan sekolah.
“Johor sebelum ini telah menggerakkan beberapa usaha berkaitan keselamatan dan kesejahteraan murid termasuk Jawatankuasa Khas Perangi Buli, Kempen Antibuli serta gerak kerja berkaitan keselamatan sekolah.
“Kejadian ini mengingatkan kita bahawa usaha tersebut tidak boleh terhenti dan perlu terus diperkukuh melalui kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, penambahbaikan mekanisme keselamatan sekolah perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat, selain memastikan sebarang ancaman terhadap murid dapat dikesan dan ditangani lebih awal.
