MEKAH: Penantian lebih tiga dekad seorang wanita warga emas untuk menunaikan ibadah haji akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau berpeluang menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini.
Jemaah haji Malaysia, Zalipah Md. Alwi, 73, berkata, impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci sudah dipendam sejak usia 40 tahun namun terpaksa ditangguhkan kerana perlu menjaga ibunya yang uzur selain berdepan pelbagai cabaran kehidupan termasuk pandemik Covid-19.
Menurut beliau, setiap hari dirinya tidak pernah putus berdoa agar dipilih menjadi “tetamu VIP Allah” dan bersyukur apabila doa tersebut akhirnya dimakbulkan.
“Saya doa tiap-tiap hari supaya Allah jemput saya menjadi tetamu-Nya. Saya percaya jika niat ikhlas dan sabar menunggu, Allah akan beri peluang pada waktu terbaik,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau yang datang seorang diri ke Mekah mengakui terharu dan sebak apabila akhirnya dapat melihat sendiri Kaabah serta menunaikan ibadah yang menjadi rukun Islam kelima itu.
Katanya, pengalaman berada di Tanah Suci memberikan ketenangan luar biasa selain menguatkan lagi keyakinannya terhadap kuasa doa dan kesabaran.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad menegaskan bahawa bayaran pakej haji yang mahal bukan jaminan untuk memperoleh giliran awal atau kelulusan rayuan bagi menunaikan ibadah haji.
Menurut beliau, terdapat segelintir masyarakat yang masih mempunyai tanggapan bahawa pakej premium mampu mempercepatkan peluang ke Tanah Suci, sedangkan semua kelulusan tertakluk kepada kuota dan syarat ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi serta Lembaga Tabung Haji (TH).
“Bayaran pakej yang tinggi bukan tiket untuk terus mendapat giliran tunai haji atau meluluskan rayuan. Semua proses dilakukan secara telus mengikut prosedur dan kuota semasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan bakal jemaah supaya berhati-hati dengan tawaran pihak tertentu yang menjanjikan kelulusan segera atau jalan pintas untuk menunaikan haji.
Katanya, jemaah disaran mendapatkan maklumat sahih hanya melalui Tabung Haji dan Pengelola Jemaah Haji berlesen bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Musim haji tahun ini menyaksikan ribuan jemaah Malaysia mula berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji dengan pelbagai kisah pengorbanan, kesabaran dan penantian panjang demi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.
Pautan Video:
