36 PELAJAR B40 RAIH IJAZAH, ENAM KELAS  PERTAMA

KUALA NERUS – Seramai 36 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah sarjana muda menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tahun ini.

Lebih membanggakan, enam daripada mereka memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke-24 yang berakhir semalam.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, kejayaan itu membuktikan program yang dirintis Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak 2024 mampu membuka peluang pendidikan tinggi kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, peserta bukan sahaja menerima tajaan penuh yuran pengajian, malah mendapat manfaat daripada ekosistem pembangunan universiti bagi meningkatkan potensi diri, kemahiran kepimpinan dan kebolehpasaran graduan.

Menurutnya, seramai 176 pelajar B40 telah dipilih menyertai program berkenaan di UMT sejak diperkenalkan, dengan jumlah peserta yang berjaya menamatkan pengajian menunjukkan peningkatan setiap tahun.

“Seramai 18 pelajar program ini berjaya menamatkan pengajian pada 2024, meningkat kepada 27 orang pada 2025 dan 36 orang tahun ini.

“Kita berharap mereka dapat membina kerjaya yang baik serta membantu mengubah taraf hidup keluarga menerusi kelayakan akademik dan kemahiran insaniah yang diperoleh,” katanya.

Sementara itu, graduan Kelas Pertama, Ery Juwahidi Aimar Zulkifli, 24, berkata, program berkenaan membolehkannya menumpukan perhatian terhadap pengajian tanpa terlalu dibebani kebimbangan mengenai kewangan keluarga.

Anak sulung daripada dua beradik dari Padang Besar, Perlis itu memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar dengan Kepujian. Bapanya, Zulkifli Mohd., 52, bekerja sebagai penoreh getah, manakala ibunya, Warsih Legiman, 51, merupakan pembantu kantin.

Katanya, dia kini bekerja di Pulau Pinang dan mula berupaya membantu keluarganya hasil peluang pendidikan yang diterima.

Seorang lagi graduan Kelas Pertama, Nur Hanisah Hasbullah, 24, turut menyifatkan program itu sebagai pemangkin kejayaannya sehingga berjaya menggenggam ijazah.

Anak pasangan penoreh getah dari Kuala Krai, Kelantan itu berkata, peluang yang diberikan KPT dan UMT dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencapai kecemerlangan akademik serta memperkukuh kemahiran insaniah.

Kejayaan graduan berkenaan mencerminkan kepentingan akses pendidikan tinggi yang inklusif dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah meningkatkan mobiliti sosial dan membina masa depan lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *