Amalan merotan atau memukul anak sebagai kaedah mendisiplinkan mereka masih menjadi pilihan sebahagian ibu bapa. Namun, pakar kaunseling mengingatkan bahawa hukuman fizikal bukan sahaja gagal membentuk disiplin secara sihat, malah boleh menjejaskan perkembangan emosi, mental dan tingkah laku kanak-kanak dalam jangka panjang.

Kaunselor berdaftar, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, dari sudut psikologi perkembangan, hukuman fizikal hanya menghentikan tingkah laku negatif buat sementara waktu kerana rasa takut, bukannya membantu anak memahami kesalahan yang dilakukan. Menurutnya, ketika dipukul, otak kanak-kanak lebih tertumpu kepada ancaman sehingga proses pembelajaran dan penaakulan tidak dapat berlaku secara optimum.

Beliau berkata, dalam jangka pendek, anak mungkin menjadi takut, menyembunyikan kesalahan atau berbohong bagi mengelakkan hukuman. Dalam jangka panjang pula, mereka berisiko mengalami masalah keyakinan diri, kesukaran mengawal emosi, gangguan perkembangan kognitif serta menganggap kekerasan sebagai cara menyelesaikan konflik.

Menurutnya, ramai ibu bapa menggunakan hukuman fizikal kerana mengulangi corak asuhan yang diterima sejak kecil selain dipengaruhi tekanan hidup, masalah kewangan, beban kerja dan keletihan emosi. Keadaan itu menyebabkan mereka lebih mudah hilang sabar dan melihat hukuman fizikal sebagai jalan pintas untuk mengawal tingkah laku anak.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan pendekatan disiplin positif yang memberi penekanan kepada pembelajaran, tanggungjawab dan pengurusan emosi tanpa menggunakan kekerasan. Antaranya ialah membimbing anak memperbetulkan kesilapan sendiri, menggunakan teknik time-in bagi membantu mereka menenangkan emosi serta memberi pujian terhadap tingkah laku yang baik.

Nurfarahira turut menegaskan ibu bapa perlu mengawal emosi sendiri sebelum menegur anak. Katanya, komunikasi yang tenang, empati dan penjelasan yang sesuai dengan usia anak lebih berkesan dalam membentuk disiplin berbanding hukuman berasaskan ketakutan.

Beliau berkata, sekiranya ibu bapa pernah bertindak memukul anak akibat hilang sabar, hubungan itu masih boleh dipulihkan melalui proses mengakui kesilapan, memohon maaf dengan ikhlas dan membina semula kepercayaan anak. Pendekatan itu bukan sahaja memperkukuhkan hubungan kekeluargaan, malah mengajar anak tentang nilai tanggungjawab, empati dan kepentingan memohon maaf apabila melakukan kesilapan.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan guru supaya peka terhadap tanda-tanda trauma seperti perubahan tingkah laku secara mendadak, prestasi akademik yang merosot, mudah terkejut, mimpi ngeri atau menjadi terlalu takut untuk bersuara. Katanya, pendidikan yang berkesan bermula dengan persekitaran yang selamat, penuh kasih sayang dan saling menghormati, bukannya melalui hukuman fizikal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *