Kemudahan internet dan perkhidmatan digital tidak semestinya memerlukan masyarakat datang kepusat tertentu apabila inisiatif NADI On Wheels (NOW) membawa kemudahan berkenaan terus kepada komuniti, termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berfungsi sebagaipusat perkhidmatan bergerak yang menyediakan akses internet serta pelbagai perkhidmatan digital kepada masyarakat yang sukar mendapatkan kemudahan berkenaan.
Berbeza daripada pusat NADI yang beroperasi di lokasi tetap, NOW menggunakan kenderaan yang dilengkapi teknologi seperti internet satelit Starlink, komputer riba, tablet, projektor, tenaga solar mudahalih dan Wi-Fi percuma bagi membolehkan aktiviti komuniti serta latihan digital dilaksanakan di lapangan.
NOW bertujuan membawa kemudahan teknologi dan perkhidmatan berasaskan komuniti kepadapenduduk, khususnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai.
MCMC sebelum ini menyatakan bahawa inisiatif berkenaan menyasarkan golongan yang memerlukan perhatian, termasuk penghuni rumah anak yatim, orang kurang upaya (OKU), masyarakat Orang Asli dan komuniti terpencil.
Salah seorang pengguna, R. Sivaranjini, 30, yang pernah menjadi mangsa banjir tahun lalu di Cenderawasih, Kuantan berkata, kemudahan Now sebenarnya telah membantu dia berkomunikasi dengan suaminya sepanjang musim banjir di mana suaminya pada waktu itu bekerja di Singapura.
“Setiap hari saya membuat panggilan video dengan suami untuk memaklumkan keadaan kami dan terdapat gangguan Internet mungkin kerana ramai di PPS serta menggunakannya serentak, tetapi selepasada NOW semalam (panggilan) lancar dan tidak tersekat lagi,” katanya dipetik Harapan Daily.
Pelajar, Muhammad Aidil Izham Shahrom, 15, turut berkongsi pengalamannya menggunakan kemudahan berkenaan ketika berada di PPS.
“Internet yang stabil memudahkan kami mendapatkan informasi terkini mengenai banjir selain melayari permainan dalam talian,” ujarnya lagi.
Ketika banjir, banyak kemudahan yang disediakan termasuklah internet percuma, saringan kesihatan asas dan aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti di PPS.
Pada 15 Oktober tahun lalu, pelancaran NOW peringkat Sabah diadakan di NADI Pekan Sindumin, Sipitang, bersempena Hari Bersama Komuniti.
Kini, Dari Sabah ke Pahang, NOW mendekati komuniti.
Pada 7 Jun tahun ini pula, pasukan NOW dilaporkan singgah di NADI Bukit Kening, Pahang, sebagai usaha menyampaikan maklumat terkini mengenai manfaat NADI kepada komuniti.
Rekod ini menunjukkan pergerakan NOW turut merangkumi aktiviti mendekati masyarakat di luar situasi bencana.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=ZUQTo1jSxu0&ra=m
