SHAH ALAM – Kegiatan sindiket menyeleweng minyak masak peket bersubsidi dengan mencampurkannya bersama minyak masak terpakai terbongkar selepas sebuah premis di Pelabuhan Klang diserbu, tengah hari semalam.
Serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 kira-kira pukul 1.10 tengah hari itu membawa kepada rampasan 15,900 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM133,950.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, pemeriksaan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tengah menemukan lambakan kotak minyak masak peket satu kilogram serta plastik bungkusan yang telah dipotong.
Menurutnya, minyak masak bersubsidi itu dipercayai dicampurkan dengan minyak masak terpakai sebelum disimpan di dalam tangki khas.
“Campuran tersebut dipercayai disimpan untuk dijual semula kepada syarikat pemprosesan minyak masak terpakai atau dipasarkan melalui pasaran gelap bagi mengaut keuntungan berganda,” katanya dalam kenyataan.
Serbuan itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang bekerja di premis berkenaan bagi membantu siasatan.
Beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu, termasuk sebuah lori, turut disita dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM133,950.
Muhamad Hanif berkata, bekalan minyak masak bersubsidi itu dipercayai diperoleh daripada pihak yang disyaki pemegang lesen barang kawalan berjadual (CSA) yang sah.
Katanya, pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit, termasuk rantaian pengedaran minyak masak peket berkenaan.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala syarikat terbabit turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
