PETALING JAYA – Bermula sebagai perusahaan kecil pada 2017, Dyus Rich Enterprise kini berjaya mengembangkan produk serunding tempatan sehingga menembusi rangkaian pasar raya dan menyertai pelbagai pameran pertanian serta keusahawanan di seluruh negara.
Pengarah Urusannya, Fairus Dir berkata, syarikat kini menawarkan 10 produk utama merangkumi serunding daging tempatan, serunding ayam, serunding daging import dan serunding ikan, selain produk sedia dimakan (ready-to-eat) yang sesuai untuk dibawa ketika melancong.
Menurutnya, serunding daging tempatan 80 gram dijual pada harga RM17.40, manakala serunding ikan ditawarkan pada harga RM13.90. Keistimewaan serunding daging tempatan adalah teksturnya yang lebih halus berbanding produk lain bagi memenuhi cita rasa pengguna.
Selain serunding, syarikat turut menghasilkan produk sedia dimakan iaitu Kuzi Ayam dan Kerutuk Daging seberat 200 gram yang dijual pada harga RM27.95, manakala Kuzi Kambing 200 gram dijual pada harga RM30.90.
Fairus berkata, produk keluarannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai agensi dan pengguna serta kini dipasarkan di rangkaian AEON, Rissmart Grocer, Rissmart 24, Station Petronas, Halal Mart dan Petron.
Katanya, syarikat juga mendapat bimbingan daripada RISDA dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar selain aktif menyertai program berskala besar seperti Pameran di bawah agensi kerajaan seperti Jabatan Veterinar, Pertanian, RISDA dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) serta Agrofest bagi memperluaskan pasaran produk tempatan.
Beliau berharap kejayaan itu dapat membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan makanan tempatan untuk bersaing di pasaran yang lebih luas sambil memperkenalkan produk tradisional kepada generasi baharu.
Fairus berkata, pihaknya turut merancang untuk memperluaskan pasaran ke lebih banyak rangkaian peruncitan dan platform e-dagang bagi memudahkan pengguna mendapatkan produk keluaran Dyus Rich Enterprise. Menurutnya, syarikat juga komited untuk terus menghasilkan inovasi makanan tradisional yang menepati cita rasa pengguna moden tanpa mengabaikan kualiti dan keaslian resipi tempatan.
