PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Selangor diminta mendedahkan hasil siasatan berhubung kemasukan babi hidup dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu, termasuk jumlah sebenar ternakan, pihak pengimport serta destinasi penghantarannya.
Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, pendedahan itu penting bagi memastikan ketelusan pentadbiran serta mengelakkan kekeliruan dan spekulasi dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu menetapkan tempoh siasatan yang jelas dan memaklumkan perkembangan serta keputusan akhirnya kepada orang ramai.
Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan sedang menyiasat kemasukan ternakan berkenaan bagi mengenal pasti destinasi sebenar sebelum menentukan tindakan susulan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan tidak menolak kemungkinan sebahagian ternakan itu hanya transit di Selangor sebelum dihantar ke negeri lain bagi memenuhi permintaan pasaran.
Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim sebelum ini memaklumkan bahawa lesen import telah diluluskan, termasuk bagi kemasukan babi hidup dari Sarawak, dengan anggaran sekitar 800 ekor seminggu.
Ternakan berkenaan dilaporkan tidak dibenarkan singgah di lokasi lain dan perlu dihantar terus ke pusat sembelihan di Rawang, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Isu itu mencetuskan bantahan beberapa pihak, termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang membangkitkan kebimbangan terhadap risiko pencemaran alam sekitar serta sensitiviti masyarakat Islam, khususnya pekerja pelabuhan dan penduduk berhampiran.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini bertitah tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu, selain mencadangkan agar hanya daging babi diimport bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Yusaimi turut mencadangkan supaya audit kebersihan dan alam sekitar dilaksanakan bagi menilai pengurusan sisa, sistem saliran, masalah bau serta kemungkinan pelepasan bahan buangan ke sungai berhampiran.
Beliau berkata, pensampelan air perlu dijalankan sekiranya terdapat aduan pencemaran, manakala hasil pemeriksaan yang boleh didedahkan kepada umum wajar diumumkan bagi memastikan pemantauan dilaksanakan secara telus.
Menurutnya, penguatkuasaan juga perlu melibatkan semua agensi berkaitan, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), bagi memastikan sebarang pelanggaran ditangani berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang, bukannya tekanan politik atau sentimen semata-mata.
