GENEVA – Golongan berpendapatan rendah dan berpendidikan rendah berdepan risiko lebih tinggi menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD), selain menghadapi kesukaran mendapatkan diagnosis awal dan rawatan sewajarnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam penilaian global pertamanya mengenai ketidaksamaan NCD mendapati jurang sosioekonomi mempengaruhi risiko penyakit, akses kepada saringan serta peluang mendapatkan rawatan, khususnya bagi kanser, penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik dan diabetes.
Menurut laporan itu, golongan berpendidikan rendah di negara berpendapatan rendah dan sederhana cenderung mencatatkan kadar hipertensi serta diabetes lebih tinggi.
Wanita daripada keluarga berpendapatan rendah dan berpendidikan rendah pula kurang berkemungkinan menjalani saringan kanser serviks, manakala penduduk luar bandar berdepan halangan lebih besar untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan hipertensi serta saringan kanser berbanding penduduk bandar.
Laporan itu turut mengenal pasti perbezaan risiko mengikut jantina. Lelaki lebih cenderung menggunakan tembakau dan mengambil alkohol, selain kurang berkemungkinan mendapatkan diagnosis serta rawatan hipertensi.
Sebaliknya, wanita mencatatkan kadar aktiviti fizikal tidak mencukupi dan obesiti lebih tinggi, khususnya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Golongan dewasa lebih muda yang menghidap hipertensi juga didapati kurang berkemungkinan menerima diagnosis dan rawatan berbanding pesakit lebih berusia.
Pakar WHO, Ahmad Reza Hosseinpoor berkata, penilaian itu merupakan usaha pertama untuk mengukur secara sistematik ketidaksamaan dalam NCD dan faktor risikonya pada peringkat global.
Sehubungan itu, WHO menggesa kerajaan memperkukuh perkhidmatan pencegahan, saringan dan rawatan, terutama bagi kumpulan yang kurang mendapat akses kepada penjagaan kesihatan.
Agensi itu turut menekankan kepentingan penambahbaikan pengumpulan data bagi mengenal pasti jurang perkhidmatan dan memastikan tindakan kesihatan awam dapat disasarkan kepada golongan yang paling memerlukan.
Pengarah Data WHO, Alain Labrique berkata, data ketidaksamaan bukan sekadar merekodkan perbezaan, sebaliknya menjadi asas penting untuk mendorong tindakan bagi menangani jurang kesihatan.
Laporan itu menegaskan bahawa usaha membendung penyakit kronik perlu mengambil kira faktor pendapatan, pendidikan, jantina dan lokasi kediaman supaya akses kepada pencegahan serta rawatan dapat diperluas secara lebih saksama.
