LINDUNG 24 JAM BUKAN BEBAN, KATA RAMANAN

SEREMBAN – Pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial bukan bertujuan membebankan pekerja, sebaliknya memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi memastikan pencarum dan keluarga mereka mendapat bantuan sekiranya ditimpa musibah.

Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan berkata kadar caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji bulanan adalah rendah berbanding kebanyakan produk insurans, namun menawarkan perlindungan menyeluruh terhadap kemalangan bukan berkaitan pekerjaan.

Menurut beliau, persepsi bahawa skim berkenaan membebankan pencarum perlu diubah kerana manfaat yang diterima jauh lebih besar, termasuk bantuan kewangan dan faedah pemulihan sekiranya pekerja mengalami kemalangan, hilang upaya atau kehilangan punca pendapatan.

Beliau berkata pelaksanaan skim itu juga bertujuan menutup jurang perlindungan sosial selepas lebih 12,000 tuntutan berkaitan kemalangan di luar waktu bekerja terpaksa ditolak antara 2023 hingga Oktober 2025 kerana tidak dilindungi di bawah skim sedia ada.

Ramanan turut mendedahkan bahawa sepanjang sebulan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, hampir 20 kes kemalangan dilaporkan kepada PERKESO setiap hari untuk proses penyaluran faedah, dengan jumlah itu dijangka meningkat menjelang musim perayaan apabila risiko kemalangan lebih tinggi.

Beliau berharap orang ramai memberi ruang untuk memahami mekanisme skim berkenaan sebelum membuat kesimpulan, sambil menegaskan perlindungan sosial itu penting terutama kepada golongan pekerja yang tidak memiliki insurans persendirian.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sejak 2020 seramai 145,625 pencari kerja telah mendaftar menerusi portal MYFutureJobs, manakala 45,535 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan di Negeri Sembilan hasil kerjasama padanan pekerjaan bersama majikan.

Beliau berkata Karnival LINDUNG Kerjaya MADANI yang berlangsung di Bandar Sri Sendayan menawarkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan daripada 40 majikan pelbagai sektor, selain memperkenalkan inisiatif MYFutureJobs AI+ bagi memperkukuh pembangunan bakat dan kebolehpasaran tenaga kerja negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *