Pakatan Harapan (PH) bakal menghimpunkan pimpinan tertinggi serta perwakilan dari seluruh negara menerusi penganjuran Konvensyen Pakatan Harapan 2026 pada 17 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Konvensyen yang membawa tema “Tekad Madani, Harapan Rakyat” itu dijadual berlangsung bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.
Di mana ia bakal menjadi platform utama memperkukuh kesepaduan kepimpinan, menyelaras gerak kerja politik serta memperincikan hala tuju gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti-parti komponen dalam mendepani cabaran politik semasa.
Menurut kenyataan bersama pimpinan PH, konvensyen berkenaan turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, memastikan kestabilan politik serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap agenda Kerajaan MADANI.
Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil; Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Adly Zahari dan Naib Pengerusi Kebangsaan DemocraticAction Party (DAP), Syahredzan Johan.
Untuk rekod, kali terakhir Konvensyen Pakatan Harapan dianjurkan adalah pada tahun 2022 sebelum gabungan itu kembali menerajui kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Penganjuran semula konvensyen tersebut dilihat sebagai usaha penting bagi memperkukuh organisasi parti, memperkasa agenda reformasi serta menyatukan semula kekuatan akar umbi dalam menghadapi landskap politik yang semakin mencabar.
Dalam perkembangan berkaitan, spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal turut hangat diperkatakan susulan beberapa negeri dijangka berdepan pilihan raya dalam tempoh terdekat termasuk Melaka dan Johor.
Konvensyen itu juga dijangka menjadi pentas penting untuk PH memperlihatkan kesatuan dalaman serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI menjelang fasa politik yang lebih mencabar selepas ini.
Sehubungan dengan itu, antara perkara yang dijangka menjadi tumpuan utama dalam konvensyen itu ialah strategi PH dalam menangani isu kos sara hidup yang terus menjadi kebimbangan rakyat ketika ini.
Pimpinan gabungan itu juga dijangka membangkitkan usaha memperkukuh ekonomi domestik termasuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan muda.
Selain itu, isu kestabilan politik dijangka menjadi antara agenda utama bagi memastikan pentadbiran negara kekal kukuh sehingga tamat penggal kerajaan.
Konvensyen berkenaan turut dilihat sebagai medan memperjelaskan pencapaian serta hala tuju agenda reformasi yang dibawa Kerajaan MADANI sejak mengambil alih pentadbiran negara.
Tambahan lagi, PH juga dijangka memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh perpaduan kaum dan menolak politik perpecahan yang boleh menggugat keharmonian negara.
Dalam masa sama, kepimpinan parti dijangka menyentuh persediaan jentera menghadapi kemungkinan PRN serta PRU16 lebih awal daripada jangkaan.
Isu berkaitan kebajikan rakyat termasuk bantuan bersasar, pendidikan dan kesihatan awam turut dijangka diberi perhatian dalam sesi perbahasan dan amanat pimpinan.
Konvensyen itu juga bakal menjadi platform menyusun semula gerak kerja komunikasi parti bagi memastikan dasar kerajaan dapat difahami rakyat dengan lebih berkesan.
Oleh itu, pimpinan PH dijangka menyeru seluruh ahli parti supaya memperkukuh kesatuan dalaman dan mengelakkan sebarang perbalahan yang boleh melemahkan gabungan tersebut.
Pada masa sama, konvensyen itu diharap mampu meniup semula semangat perjuangan dalam kalangan akar umbi bagi memastikan sokongan rakyat terhadap PH terus kekal menjelang pilihan raya akan datang.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Amm5z-Sw9GU
