PUTRAJAYA – Harga runcit produk petroleum tanpa subsidi meningkat mulai hari ini hingga 26 Ogos susulan kenaikan harga minyak mentah dunia yang dipengaruhi ketegangan geopolitik dan gangguan aliran perdagangan di laluan strategik.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga RON97 naik 10 sen kepada RM4.25 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat 15 sen kepada RM3.77 seliter dan diesel tanpa subsidi naik 20 sen kepada RM4.67 seliter.
Menurut MOF, kenaikan itu ditentukan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), ketika pasaran minyak global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat serta perang Rusia-Ukraine.
“Selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia,” menurut kenyataan itu.
Ketidaktentuan turut meningkat selepas wujud percanggahan kenyataan antara Washington dan Tehran mengenai status Selat Hormuz, dengan aktiviti perkapalan dilaporkan semakin perlahan apabila pemilik kapal mengelakkan laluan berkenaan.
Perkembangan itu mendorong harga minyak global meningkat untuk hari keempat berturut-turut, dengan niaga hadapan Brent naik 42 sen kepada AS$91.44 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat 51 sen kepada AS$85.45 setong.
MOF berkata, konflik Rusia-Ukraine turut memberi tekanan terhadap bekalan apabila Ukraine menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, gangguan geopolitik turut memberi kesan kepada pasaran minyak sawit apabila harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada September.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, prospek harga disokong bekalan yang semakin ketat, permintaan biodiesel yang kukuh serta gangguan terhadap aliran perdagangan minyak sayuran global.
Pada Julai, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 9.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.79 juta tan, manakala eksport naik 14.5 peratus kepada 1.39 juta tan.
Bagaimanapun, pengeluaran dijangka memasuki trend penurunan bermusim pada suku keempat, selain kadar perahan minyak (OER) yang lebih rendah, sekali gus berpotensi mengetatkan bekalan menjelang akhir tahun.
MOF pada masa sama menegaskan kerajaan terus melindungi pengguna yang layak menerusi mekanisme subsidi bersasar.
Di bawah BUDI95, kerajaan menanggung subsidi RM1.78 seliter, bersamaan kira-kira 47 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi, manakala subsidi diesel BUDI Diesel berjumlah RM2.57 seliter, atau 55 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.
Kerajaan turut menggesa rakyat menggunakan bahan api secara berhemat dengan merancang perjalanan lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan dan perbelanjaan subsidi.
Pasaran minyak bagaimanapun dijangka kekal sensitif dalam tempoh terdekat selagi ketegangan Asia Barat belum reda dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal.
