LELAKI MUDA KINI BERDEPAN KRISIS KESUBURAN


KUALA LUMPUR
 – Masalah kesuburan lelaki bukan lagi isu yang hanya dikaitkan dengan peningkatan usia apabila semakin ramai lelaki muda dikesan mengalami penurunan kualiti sperma sehingga menjejaskan peluang untuk mendapatkan zuriat.

Pensyarah Kanan Biokimia, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Faizul Jaafar berkata, kualiti air mani dan kesihatan sperma yang rendah boleh berlaku seawal usia 20-an, sekali gus menunjukkan golongan muda juga tidak terkecuali daripada berdepan masalah reproduktif.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan pihaknya mendapati seorang daripada setiap 10 lelaki muda mempunyai kualiti air mani yang rendah, walaupun kebanyakan mereka kelihatan sihat dari segi fizikal dan tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit.

Katanya, keadaan itu membuktikan kesuburan lelaki tidak boleh dinilai berdasarkan penampilan luaran semata-mata kerana faktor dalaman seperti kualiti sperma memainkan peranan penting dalam menentukan keupayaan seseorang untuk mendapatkan zuriat.

Dr. Faizul menjelaskan, perubahan gaya hidup moden menjadi antara penyumbang utama kepada penurunan kesuburan lelaki, termasuk tabiat pemakanan tidak seimbang, kurang aktiviti fizikal, obesiti, tekanan hidup, merokok, pengambilan alkohol serta pendedahan kepada bahan kimia dan pencemar alam sekitar.

Beliau berkata, tidur yang tidak mencukupi dan penggunaan gajet secara berlebihan sehingga mengganggu pola rehat juga dipercayai memberi kesan terhadap keseimbangan hormon yang diperlukan untuk penghasilan sperma berkualiti.

“Ramai lelaki hanya menjalani pemeriksaan selepas bertahun-tahun berkahwin dan gagal memperoleh zuriat, sedangkan pengesanan awal membolehkan rawatan atau perubahan gaya hidup dilakukan lebih cepat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan lelaki yang merancang untuk berkeluarga supaya menjalani pemeriksaan kesuburan lebih awal, terutama jika mempunyai faktor risiko atau sejarah penyakit tertentu.

Tambah beliau, amalan pemakanan sihat, senaman secara konsisten, mengekalkan berat badan ideal, mengurus tekanan dengan baik serta mengelakkan rokok dan alkohol mampu membantu meningkatkan kesihatan reproduktif lelaki.

Beliau turut menegaskan bahawa kesuburan merupakan tanggungjawab bersama pasangan dan stigma yang mengaitkan masalah mendapatkan zuriat hanya berpunca daripada wanita perlu dihentikan supaya lebih ramai lelaki berani mendapatkan pemeriksaan serta rawatan awal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *