KUALA LUMPUR – Kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data, bioteknologi, genomik dan percetakan 3D kini mengubah landskap penjagaan kesihatan global dengan membolehkan penyakit dikesan, dicegah dan dirawat secara lebih tepat.

Perkembangan itu turut mempercepatkan peralihan kepada penjagaan kesihatan jitu (precision healthcare) yang menyesuaikan rawatan berdasarkan profil genetik, gaya hidup, keadaan kesihatan dan faktor persekitaran seseorang.

Pendekatan berkenaan berpotensi meningkatkan keberkesanan rawatan serta mengurangkan risiko kesan sampingan berbanding kaedah rawatan yang lebih umum.

Di peringkat global, teknologi tersebut sedang digunakan dalam pelbagai bentuk, termasuk teknologi mesh biodegradasi bercetak 3D untuk penghantaran ubat secara terus ke kawasan tumor, penggunaan AI dalam pengimejan perubatan serta teknologi theranosticsyang menggabungkan diagnosis dan terapi dalam rawatan kanser.

Malaysia turut memperkukuh keupayaan dalam bidang berkenaan selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, khususnya dalam pembangunan teknologi perubatan dan terapi termaju.

Antara inisiatif penting ialah Projek MyGenom, yang menjalankan kajian genomik populasi bagi memahami kepelbagaian DNA rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan etnik. Data berkenaan boleh menyokong pembangunan strategi penjagaan kesihatan yang lebih bersesuaian dengan profil biologi penduduk tempatan.

Usaha itu turut diperkukuh menerusi inisiatif Malaysian Pangenome yang bertujuan membangunkan pangkalan data genetik yang lebih mencerminkan kepelbagaian populasi Malaysia.

Dalam masa sama, kekuatan negara dalam sektor semikonduktor dan peranti perubatan serta pembangunan infrastruktur digital menyediakan asas kepada syarikat tempatan untuk menghasilkan penyelesaian kesihatan berteknologi tinggi bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

Namun, pembangunan teknologi kesihatan memerlukan proses panjang merangkumi penyelidikan, pengujian, pensijilan dan pengkomersialan. Akses kepada pembiayaan turut menjadi antara cabaran utama bagi syarikat pemula dan syarikat teknologi yang mahu membawa inovasi dari peringkat pembangunan ke pasaran.

Dalam konteks itu, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) memainkan peranan menyediakan pembiayaan kepada syarikat berasaskan teknologi, termasuk bidang AI, bioteknologi, teknologi perubatan dan inovasi digital.

Sokongan pembiayaan yang bersesuaian dilihat dapat membantu syarikat teknologi tempatan mempercepatkan pembangunan produk, mengembangkan operasi serta memperluas pasaran.

Dengan gabungan kepakaran tempatan, data genomik, teknologi digital dan ekosistem pembiayaan, Malaysia mempunyai ruang untuk memperkukuh kedudukannya dalam pembangunan penjagaan kesihatan jitu serta menyumbang kepada pertumbuhan industri teknologi kesihatan bernilai tinggi di rantau Asia Tenggara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *