PETALING JAYA – Kesihatan mental kanak-kanak dan remaja perlu diberikan perhatian serius berikutan peningkatan kebimbangan terhadap tekanan emosi serta masalah psikologi yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, kesejahteraan mental dan emosi golongan muda merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan perhatian ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Istana Negara mengadakan sesi perbincangan bersama beberapa agensi kerajaan bagi meneliti inisiatif pembangunan serta memperkukuh sistem aduan dan kaunseling untuk membantu remaja yang berdepan tekanan emosi.
Perbincangan yang diketuai Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini itu melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Usaha berkenaan memberi tumpuan kepada penyediaan saluran aduan dan bantuan yang mudah diakses, selamat serta berkesan, selain memperkukuh sokongan kepada pelajar yang memerlukan perhatian dan bimbingan.
Persatuan Kaunseling Malaysia turut terlibat dalam usaha menyediakan khidmat kaunselor berdaftar dan terlatih bagi memastikan golongan remaja mendapat bantuan sewajarnya.
Raja Zarith Sofiah turut menegaskan kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental supaya tanda-tanda tekanan emosi dapat dikenal pasti lebih awal.
Sehubungan itu, ibu bapa dan guru perlu peka terhadap perubahan tingkah laku, emosi serta interaksi sosial kanak-kanak dan remaja agar mereka dapat dibantu sebelum masalah menjadi lebih serius.
Sokongan emosi, komunikasi terbuka dan akses kepada khidmat kaunseling profesional penting bagi memastikan golongan muda berasa disayangi, didengari dan tidak bersendirian ketika menghadapi kesukaran.
