PEMERHATI POLITIK ANGGAP REKOD TOK MIN KELEBIHAN PH

SEREMBAN – Rekod pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min yang disifatkan dekat dengan rakyat perlu dijadikan kekuatan utama kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pemerhati politik, Ahmad Faizuddin berkata, pencapaian kerajaan negeri di bawah pimpinan Aminuddin wajar diketengahkan kepada pengundi berbanding membalas kempen berasaskan sentimen kaum dan agama yang dimainkan pihak lawan.

Menurut beliau, antara contoh jelas ialah pemberian insentif khas sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada kira-kira 900 penggali kubur di seluruh Negeri Sembilan pada 2023, yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang jarang mendapat perhatian.

Katanya, bantuan itu membuktikan pentadbiran Aminuddin bukan sahaja memberi tumpuan kepada projek pembangunan berskala besar, malah turut menjaga kebajikan pekerja akar umbi yang memainkan peranan penting dalam masyarakat.

“Apabila pentadbiran itu baik, manfaatnya dapat dirasai sehingga kepada golongan seperti penggali kubur. Inilah mesej yang dekat dengan rakyat dan perlu terus disampaikan,” katanya.

Ahmad turut berkongsi pengalamannya menghadiri program bersama kira-kira 200 anak muda di Linggi apabila majoriti peserta mengenali Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurutnya, seorang peserta yang dipilih secara rawak menyatakan jasa terbesar Tok Min ialah memperbanyakkan pembinaan masjid dan surau serta memperkukuhkan pembangunan institusi Islam di negeri itu.

Beliau berkata, persepsi tersebut menunjukkan sebahagian generasi muda menilai kepimpinan berdasarkan rekod pentadbiran dan bukannya retorik politik atau kempen berasaskan ketakutan.

Sehubungan itu, Ahmad berharap pengundi, khususnya golongan muda, terus menilai fakta dan prestasi kerajaan secara kritikal sebelum membuat pilihan pada hari pengundian.

Mengulas peluang PH dalam PRN Negeri Sembilan, beliau mengakui persaingan kali ini dijangka sengit, namun percaya gabungan itu masih berpeluang mempertahankan pentadbiran sekiranya rekod pencapaian kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Beliau berkata, kempen pada fasa akhir perlu memberi penekanan kepada kisah-kisah yang dekat dengan kehidupan rakyat bagi membuktikan hasil pentadbiran yang baik mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, rekod pentadbiran Tok Min mempunyai nilai tersendiri untuk meyakinkan pengundi, namun ia perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami dan menyentuh pengalaman harian rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *