SEREMBAN – Sebanyak 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikenal pasti bakal menjadi penentu kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.
Kerusi berkenaan ialah Chennah, Linggi, Klawang, Ampangan, Sikamat, Lenggeng, Labu, Paroi, Pilah, Repah dan Jeram Padang yang dijangka menyaksikan persaingan paling sengit antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Kesemua kerusi tersebut dikategorikan sebagai kerusi marginal susulan perubahan pola sokongan pengundi, khususnya melibatkan pengundi Melayu dan bukan Melayu, sekali gus menjadikan tiada mana-mana gabungan boleh menganggapnya sebagai kubu selamat.
Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN mengakui beberapa kawasan bakal menyaksikan saingan yang cukup sengit, namun yakin masih berpeluang merampas semula beberapa kerusi termasuk Chennah.
Menurut beliau, landskap politik yang semakin dinamik menyebabkan keputusan pilihan raya banyak bergantung kepada prestasi kerajaan, rekod perkhidmatan calon serta tahap keyakinan rakyat terhadap parti yang bertanding.
“Ada kawasan yang kita yakin boleh dimenangi semula, namun ada juga kerusi yang lebih mencabar. Walau bagaimanapun, kejutan masih boleh berlaku pada hari pengundian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, gabungan itu optimis mampu mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan berdasarkan sambutan positif yang diterima sepanjang tempoh kempen.
Beliau berkata, PH akan memperhebat usaha pada saat-saat akhir termasuk memberi tumpuan kepada 16 kerusi yang ditandingi PKR serta memperluaskan pendekatan kempen digital bagi menarik sokongan pengundi muda menerusi siaran langsung di platform TikTok.
Dalam perkembangan sama, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub menyifatkan DUN Linggi sebagai ‘meter politik’ yang mampu memberi gambaran awal terhadap hala tuju keputusan keseluruhan PRN Negeri Sembilan.
Katanya, pertandingan di Linggi menjadi perhatian kerana Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kawasan yang dimenangi BN dengan majoriti 1,461 undi pada pilihan raya lalu.
Menurut beliau, kemenangan PH di Linggi akan memberi isyarat bahawa gabungan itu berjaya menembusi kawasan tradisi Melayu BN, manakala kejayaan BN mempertahankan kerusi tersebut akan mengukuhkan peluang gabungan itu membentuk kerajaan negeri.
Beliau turut berpandangan berdasarkan dapatan semasa di lapangan, BN dan PN berpotensi memperoleh sehingga 22 kerusi, sekali gus melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Seorang lagi penganalisis politik, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, beberapa kerusi seperti Sikamat, Ampangan, Labu, Lenggeng, Jeram Padang, Chennah dan Linggi kini berada dalam situasi persaingan seimbang.
Menurut beliau, keputusan PRN kali ini dijangka tidak dipengaruhi oleh gelombang besar sebaliknya bergantung kepada keupayaan setiap parti menggerakkan penyokong keluar mengundi kerana perbezaan beberapa ratus undi sahaja mampu menentukan kemenangan di kerusi-kerusi marginal.
